Jumaat, 15 Ogos 2014

Mustafa: PAS Pusat tentukan tindakan terhadap Saari, Hasnul

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic

 
 
 
KUALA LUMPUR: PAS akan hanya mengambil sebarang tindakan displin terhadap dua ADUNnya di Selangor yang menolak kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas menjalankan siasatan penuh. 
 
Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata arahan kepada Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) untuk menarik balik sokongan mereka terhadap Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon MB baru dibuat oleh PAS Selangor dan bukan pihaknya.
 
“Itu hal Selangor dan kita belum dapat maklumat. Mereka bertindak bersendirian dan ia bukan arahan parti. Tapi kita akan siasat dahulu kerana kes macam ini tidak pernah berlaku lagi,” kata beliau.
 
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat biro politik PAS di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.
 
Saari dan Hasnul berkata mereka sanggup berdepan dengan apa jua tindakan displin parti kerana  menyokong Wan Azizah sebelum AJK Pusat PAS bermesyuarat.
 
Perakuan bertulis mereka membolehkan Wan Azizah mengisytiharkan beliau mempunyai sokongan majoriti iaitu 30 daripada 56 ADUN di Selangor untuk menjadi MB baru, menggantikan Khalid.
 
Bagaimanapun PAS menyifatkan sokongan dua ADUN itu sebagai melanggar pendirian parti setelah pucuk pimpinannya termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura menyokong Khalid. 
 
Walaupun dipecat PKR, Khalid berpegang kepada jawatan MB setelah menyakinkan Sultan Selangor beliau mempunyai sokongan majoriti dalam DUN Selangor.
 
Beliau dilihat bersandarkan kepada sokongan bulat PAS dan 12 ADUN Barisan Nasional.
 
Wan Azizah menyanggah dakwaan itu dengan mengumumkan beliau mempunyai akuan bersumpah Saari, Hasnul, 13 ADUN PKR dan 15 ADUN DAP  bahawa mereka hilang kepercayaan terhadap Khalid dan  menyokongnya.
 
Mustafa berkata empat exco PAS akan terus mendokong kepimpinan Khalid sebagai MB  dan masih menanggap kerajaan negeri Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat.
 
“Pada kami, PAS menganggap ia masih kerajaan Pakatan sebab kehadiran 4 orang exco PAS itu mewakili Pakatan, walaupun selepas exco DAP dan PKR dipecat,”  kata beliau.
 
“Walaupun siapa jadi MB, selagi kerajaan ada kita kena pertahankan. Arahan kita terus kekal bersama kerajaan. Namun bukan ada kepentingan tertentu,” kata beliau.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Majoriti Exco dari Pakatan dah dipecat dan TSKI juga ditendang dari PKR, masih kerajaan Pakatan? Juga dah terang2 sokongan majoriti kpd Wan Azizah menolak TSKI. Yang paling ketara TSKI sendiri dah isytihar tiada kerajaan Pakatan krna ia suatu entiti yg tak berdaftar. Nak kelentong siapa ni?