Rabu, 27 Ogos 2014

Muktamar: Tunggu pasang khemah, terima tetamu

ANIS NAZRI


KUALA LUMPUR: PAS Johor bersedia menyambut kedatangan para pemimpin, perwakilan, pemerhati dan ahli-ahli parti itu dari seluruh negara bagi menghadiri Muktamar Tahunan PAS kali ke-60.

Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan, berkata sebagai tuan rumah segala persiapan berkaitan muktamar yang akan berlangsung tidak lama lagi sudah diselesaikan hampir 90 peratus.

"Alhamdulillah, boleh dikatakan segala persiapan berkaitan muktamar sudah diselesaikan. Hanya tunggu hari untuk memasang khemah dan menerima tetamu dari seluruh negara sahaja lagi," kata beliau kepada Harakahdaily.

Menyentuh soal tapak program dan kebenaran pihak berkaitan, Aminolhuda berkata perkara berkaitan itu juga telah diselesaikan dengan pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Biarpun muktamar kali ini merupakan muktamar pertama yang diadakan di negeri bukan pentadbiran Pakatan Rakyat, ia tidak melunturkan semangat urusetia yang dipertanggungjawabkan untuk menjayakan program tersebut.

"Setakat ini, semuanya berjalan lancar. Tiada sebarang masalah. Kita sudah siap buku cenderamata, penginapan, penempatan, gerai-gerai, permit dan sebagainya," kata beliau.

Muktamar PAS tahun ini akan berlangsung di Taman Sutera Utama, Skudai, 18 hingga 20 September akan datang.

Manakala, muktamar bagi dewan-dewan pula iaitu Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan Dewan Muslimat akan bermula 16 hingga 17 September dan ketiga-tiganya akan berlangsung di lokasi berbeza.

Muktamar Dewan Muslimat akan berlangsung di tapak yang sama dengan Muktamar PAS Pusat di Taman Sutera Utama, sementara Muktamar Dewan Ulama akan diadakan di sebuah hotel di  Kulai.

Bagi Dewan Pemuda pula, muktamarnya akan diadakan di Dewan Chong Moi, Kota Tinggi. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: