Selasa, 19 Ogos 2014

MRT: Mayat 2 lagi pekerja Bangladesh ditemui

BERNAMA 


PETALING JAYA: Mayat dua lagi pekerja warga Bangladesh yang terperangkap dalam runtuhan konkrit landasan projek Mass Rapid Transit (MRT) di Kota Damansara di sini, ditemui tengah hari ini.
  
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata mayat Mohamad Faruk Khan dan Mohammad Alauddin Mollik ditemui pihaknya pada 1.35 tengah hari ini.
  
"Kedua-dua mayat itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Mayat seorang lagi pekerja Bangladesh, Mohammad Elahi Hossain ditemui pasukan mencari pada 2.30 pagi tadi dan telah dibawa ke hospital sama.
  
Tiga pekerja binaan lelaki warga Bangladesh itu maut selepas dihempap landasan konkrit seberat 490 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Kota Damansara pada 8.30 malam tadi.
  
Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan di laman Twitternya meluahkan rasa terkejut dengan insiden itu dan mahu siasatan penuh dijalankan segera. - Bernama

Tiada ulasan: