Selasa, 5 Ogos 2014

MITI digesa dedah syarikat terlibat hubungan dagang dengan Israel

Oleh Lyn Nasir


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) digesa mendedahkan secara terperinci senarai syarikat di negara ini yang menjalin hubungan dagang dengan Israel.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izah Anwar membuat gesaan itu merujuk pengakuan Menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed tentang jalinan hubungan dagang di antara Malaysia-Israel.

Mustapa dilapor berkata, kerajaan sedang menilai semula hubungan dengan syarikat multinasional dari China, Amerika dan Jepun yang mempunyai perniagaan di Israel, sebagai respon terhadap keganasan di wilayah Gaza.

Nurul-Izzah1Nurul Izzah berkata, keputusan itu sekadar ingin mengalih perhatian tentang wujudnya hubungan perdagangan antara syarikat Malaysia dengan Israel.

Memetik maklumat di laman web Biro Statistik Israel, Nurul Izzah mendedahkan, Malaysia pada 2011 telah mengeksport hasil sawit, kelapa dan lain-lain minyak sayuran bernilai kira-kira USD$19.41 juta, hasil koko bernilai USD$8.67 juta dan hasil getah bernilai USD$11.54 juta.

Justeru, Naib Presiden KEADILAN itu menggesa kerajaan mendedahkan syarikat yang mempunyai hubungan perniagaan dengan Israel dan mengenakan sekatan terhadap aktiviti perniagaan tersebut sehingga Israel berhenti melakukan pencerobohan terhadap Palestin.

“Berikutan kenyataan Menteri itu, saya ingin meminta Kementerian agar dapat menyenaraikan syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dagang dengan Israel, dan komoditi-komoditi yang didagangkan.

“Kerajaan juga perlu mengkaji semula posisi Malaysia dalam mengadakan perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat, yang merupakan penaja utama keganasan Israel ini. Perkara ini perlu diambil kira sebelum perjanjian seperti Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA),” katanya dalam kenyataan.

Sambung beliau, menandatangani perjanjian tersebut sama seperti menyokong keganasan di Gaza kerana menurutnya Amerika bersubahat dalam penerusan kesengsaraan rakyat Palestin dengan perlindungan yang diberikan kepada Israel sebagai pembekal utama senjata.

Katanya, Israel tidak mampu untuk melakukan keganasan di Gaza jika Amerika mengambil posisi tegas untuk memastikan keamanan dan keselamatan rakyat Palestin.

“Kerajaan perlu mengambil contoh daripada Kerajaan Chile, yang menggantung perjanjian perdagangan bebas mereka, sebagai bantahan ke atas keganasan Israel.

“Pentadbiran Michele Bachelet mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Israel ke atas Gaza, dan selepas rundingan dengan ahli kongres, Patricio Vallespin juga mengumumkan Kerajaan Chile turut menggantung perjanjian tersebut.

“Tindakan sebegini jelas menunjukkan solidariti bersama warga Palestin di bawah nama kemanusiaan yang harus dicontohi oleh negara-negara lain,” ujar Nurul Izzah.

Selain Chile, Kerajaan Bolivia juga secara rasmi melabel Israel sebagai ‘negara pengganas’ berikutan jenayah perang yang dilakukan ke atas Gaza.

Tiada ulasan: