Isnin, 18 Ogos 2014

MH17: Sebulan berlalu, ingatan masih segar

SINAR HARIAN


MH17


AMSTERDAM - Suasana sepi menyelubungi galeri khas 'Reflection MH17' di Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol di sini, Ahad walaupun ramai pelancong asing dan rakyat tempatan memenuhi ruang itu bagi memberi penghormatan sempena genap sebulan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 hari ini.

Hujan renyai di sekitar Amsterdam sejak awal pagi seolah-olah turut menangisi pemergian kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang terkorban dalam nahas itu pada 17 Julai lepas, ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Tinjauan Bernama di galeri itu mendapati ada pelawat yang meletakkan kuntuman bunga, surat, mesej, gambar, lilin, bendera dan pelbagai barangan sebagai tanda takziah dan kenangan buat mangsa.

Ada yang bertafakur, ada yang memeluk anggota keluarga sambil menangis ketika mendekati sudut yang memaparkan gambar dan maklumat mengenai kesemua penumpang dan anak kapal MH17.

Kesan titisan air mata juga menjadi sebahagian daripada kandungan di dalam buku takziah di galeri itu, yang menurut petugas galeri berkenaan yang enggan dikenali, berpuluh-puluh buku takziah telah disediakan di ruang itu sejak bulan lepas.

Seorang pelancong kanak-kanak dari Itali yang hanya mahu dikenali sebagai Leonardo, 10, berkata beliau menulis "Kami akan sentiasa bersama anda" di dalam buku takziah itu.

Seorang gadis tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Maaike, 20, percaya kesemua mangsa nahas itu pasti dikenangi selama-lamanya terutamanya dalam kalangan rakyat Belanda.

Seorang petugas di lapangan terbang itu pula berkata hatinya sentiasa sedih dan sayu setiap kali melalui galeri itu dan berharap roh kesemua mangsa tenang.

Para pengunjung galeri itu tidak ketinggalan merakamkan takziah khusus buat juruterbang dan anak kapal MAS yang terkorban.

Penjaga parkir, Bashah dari Surinam berkata: "Saya amat sedih dengan tragedi ini, dan saya bersimpati dengan negara anda yang terpaksa berdepan dengan tragedi dua pesawat."

Selain pesawat MH17 yang ditembak jatuh pihak tidak bertanggungjawab di Donestk, timur Ukraine bulan lepas, Malaysia masih lagi kesedihan dengan kehilangan Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas.

Gerakan mencari MH370, yang membabitkan pelbagai negara, bermula di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka dan di selatan Lautan Hindi. - Bernama

Tiada ulasan: