Isnin, 4 Ogos 2014

MH17: Pampasan awal RM160,000 dalam masa terdekat

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Waris terdekat kepada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 dijangka menerima bayaran pampasan awal sebanyak US$50,000 atau kira-kira RM160,000 dalam jangka masa terdekat.
  
Bernama melaporkan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata bayaran pampasan awal itu sediakan oleh pihak MAS.
  
"Saya difahamkan bayaran kepada waris yang ini dapat dibuat dalam masa terdekat memandangkan kita sudah sedia maklum apa yang berlaku kepada pesawat itu (MH17)," katanya ketika dihubungi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam rancangan Selamat Pagi 1Malaysia yang disiarkan di TV1.
  
Beliau berkata sebelum ini sebanyak 25 anggota keluarga mangsa tragedi MH17 telah menerima bayaran saguhati US$5,000 atau kira-kira RM16,000 secara sekali gus daripada pihak MAS untuk membantu dalam soal perbelanjaan harian yang mungkin diperlukan.
  
Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Tiada ulasan: