Selasa, 12 Ogos 2014

Mesyuarat Dewan Diraja tak sentuh bubar Dun

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Majlis Dewan Diraja Selangor yang bermesyuarat hari ini tidak menyentuh isu pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid yang dipecat oleh PKR Sabtu lalu berkata, ini kerana beliau tidak meminta pembubaran itu dibuat.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut memperkenan beliau terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar sehingga ada perkembangan baharu berlaku.

Ini kerana Tuanku berpuas hati dengan penjelasan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti Adun Selangor.

Berhubung mesyuarat kerajaan negeri, Abdul Khalid berkata beliau telah mendapat sokongan empat exco dari PAS.

Katanya, itu sudah memadai baginya untuk beliau mengadakan mesyuarat kerajaan negeri walaupun tanpa exco dari PKR dan DAP. Ini berdasar tatacara Artikel 52.2B Undang-undang Negeri.

“Parti PAS sudah nyatakan keempat-empat anggota (Exco) akan bersama Kerajaan Negeri dan saya.

“Oleh sebab itu, saya boleh meneruskan ketuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: