MAJLIS
Aidilfitri kali ini menemukan saya dengan seorang pemimpin kanan
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Organisasi ini sinonim
dengan saudara kita (saudara baru) terutama di kalangan orang Cina.
Banyak
maklumat mengenai usaha dakwah Perkim diberitahu kepada saya. Namun
disebabkan sekarang ini 'musim sesetengah orang Melayu ghairah'
menyambut Aidilfitri selama sebulan, eloklah saya berceloteh usaha
dakwah yang berkaitan Ramadan dan Aidilfitri sahaja.
Pemimpin
Perkim berkenaan memberitahu, jumlah orang Cina Malaysia yang memeluk
Islam kurang memberangsangkan. Katanya, ada lebih kurang 40,000 Cina
Muslim di kalangan 28 juta rakyat negara ini sedangkan orang Cina
sendiri berjumlah lebih 8 juta.
Ya,
angka ini sungguh kecil, mengapa tidak tertariknya orang Cina kepada
Islam, mungkinkah orang Melayu-Islam yang merupakan kaum majoriti kurang
atau gagal berdakwah kepada orang Cina?
Pemimpin
Perkim itu memberitahu saya ada dua kelompok orang Cina yang perlu
difahami oleh pendakwah. Golongan pertama adalah di kalangan cerdik
pandai (intelektual) dan kedua di kalangan orang umum.
Secara
amnya, kata beliau golongan bijak pandai Cina tertarik dengan Islam
kerana menyedari kebenaran Islam yang mencabar daya keintelektualan
mereka sebaliknya di kalangan orang umum mereka melihat keindahan budaya
dan cara hidup orang Melayu sebagai faktor mereka memeluk Islam.
Kata
pemimpin berkenaan,ada bijak pandai Cina yang melihat cara sesetengah
orang Melayu menyambut Ramadan dan Aidilfitri menyebabkan mereka tidak
tertarik dengan Islam. Golongan orang Melayu ini kuat melakukan
pembaziran sedangkan mereka difahamkan Islam menganjurkan umatnya
bersederhana dalam semua soal termasuk makan minum tetapi sesetengah
orang Melayu melampaui batas.
Bijak
pandai Cina tertanya-tanya jika berpuasa itu adalah untuk mengurangkan
nafsu makan tetapi mengapa pula orang Melayu Islam terutama di Malaysia
'makan sampai nak mati' ketika berbuka puasa. Daripada bazar Ramadan
sampailah ke majlis moreh di masjid semuanya adalah berkaitan dengan
makanan.
Demikian
juga dalam bab berhari raya. Sesetengah orang Melayu berhari raya
'sampai nak mati' juga. Ada hari raya pertama, kedua, ketiga, keempat,
kelima sehinggalah hari ke-30. Bingung sesetengah bijak pandai Cina ini
memikirkan; mereka yang sudah mendapat hidayah Islam cuba melarikan diri
daripada 'cara hidup orang Melayu ini' sebaliknya cuba mempraktikkan
apa yang sebenarnya Islam anjurkan.
Berlawanan
daripada orang Cina intelektual yang mendapat hidayah Islam selepas
menyedari kehebatan agama langit itu dari segi keilmuan, kebanyakan
golongan awam Cina pula mendapat nur akibat tertarik dengan budaya dan
cara hidup orang Melayu yang lemah lembut selepas mereka berkawan dengan
orang Melayu atau menjadi anak angkat mereka.
Pemimpin
Perkim itu berkata, pembawaan sesetengah orang Melayu yang patuh kepada
ajaran agama termasuk dari segi pemakaian dan pemakanan mereka yang
sederhana menyebabkan mereka tertarik kepada Islam. Perayaan seperti
hari raya yang menyaksikan semua golongan dapat merayakannya, menambat
hati mereka. Apatah lagi jika wujud penambat hati 'dalam bentuk' seorang
gadis atau pemuda!
Sesetengah
watak dan sikap semula jadi orang Melayu itu seperti mudah tersenyum,
peramah manakala anak-anak menunjukkan penghormatan kepada orang tua
seperti mencium tangan ibu bapa juga menambat hati sesetengah individu
Cina kepada Islam. Ada juga yang tertarik kepada suasana damai di masjid
malah kepada alunan azan yang lima kali sehari semalam dikumandangkan
dari menara masjid.
Hakikat
hanya ada 40,000 Cina Muslim daripada 8 juta orang Cina di negara ini
membimbangkan dan mencetuskan pelbagai pertanyaan. Ya, angka ini sungguh
kecil, mengapa tidak tertariknya orang Cina kepada Islam, mungkinkah
orang Melayu-Islam yang merupakan kaum majoriti kurang berdakwah kepada
orang Cina?
Namun,
alhamdulillah, akhir-akhir ini kita dapat saksikan betapa ramai orang
Cina cuba mendekati dan memahami Islam terutamanya melalui parti Islam,
PAS. Kini sudah ada kelab penyokong PAS di kalangan 'non-Muslim' malah
golongan intelektual termasuklah di kalangan pemimpin DAP cuba memahami
dan mengalami sendiri cara hidup orang Islam seperti menyertai pemimpin
PAS bersahur dan berbuka puasa. Mereka juga cuba 'mendekati' masjid,
malah sesetengahnya mengikuti majlis ilmu di situ.
Ini
peluang terbaik untuk pemimpin Islam menunjukkan kesederhanaan Islam
dalam semua bidang kehidupan. Pada pandangan saya dalam majlis makan
minum, tidak perlulah berlebih-lebih dalam menjamu mereka, 'biarkan
mereka lihat sendiri kesederhanaan kehidupan yang umat Islam harungi
setiap hari sebagai seorang Muslim sejati'.
Insya-Allah
mereka akan tertarik kepada Islam yang umatnya mempamerkan
kesederhanaan dan bukan melayan mereka 'secara pura-pura' bagaikan
'raja' seperti dilakukan sesetengah Melayu. Kalau tidak masakan ada
peribahasa berbunyi - kera dihutan disusukan, anak dikendong mati
kelaparan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan