Rabu, 27 Ogos 2014

MB umum projek rumah mampu milik ke-2

MALAYSIAKINI



 


Menteri besar Selangor hari ini mengumumkan projek perumahan rumah mampu milik kedua kerajaan negeri di Shah Alam merangkumi 24.7 hektar yang dijangka siap pada 2018.

Tan Sri Khalid Ibrahim (bawah) berkata, projek di Seksyen U1 Glenmarie dan Seksyen 35 itu apabila siap boleh dijual di antara RM200,000 hingga RM250,000.

Khalid juga berkata, mesyuarat exco Selangor hari ini menerima taklimat daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) tentang perkembangan terkini pembangunan perumahan rumah mampu milik negeri serta pelan tindakan sehingga 2025.

Katanya, Fasa 1 projek rumah mampu milik Selangorku di Sungai Sering di Hulu Klang yang melibatkan 2, 496 unit yang diumumkan sebelum ini telah dimulakan dan berjalan lancar.

Daripada maklumat LPHS, kata Khalid, setakat Julai 2014, sebanyak 1,682 unit rumah mampu milik dibina dan mesyuarat exco meluluskan 10,650 unit rumah mampu milik.

LPHS juga menjalankan pemantauan setiap enam bulan bagi memastikan pemaju membina rumah-rumah mampu milik terlebih dahulu atau beriringan dengan rumah harga bebas.

“Sekiranya pemaju gagal, PBT yang terlibat boleh mengeluarkan 'arahan henti kerja' untuk menangguhkan keseluruhan pembinaan projek mereka,” katanya.

Tiada ulasan: