Khamis, 7 Ogos 2014

MB: Jambatan ke-3 Klang siap Julai 2016 lonjak ekonomi & nilai hartanah

Oleh: AFIX REDZUAN


KLANG,: Projek Pembinaan Jambatan Ketiga Sungai Klang apabila siap menjelang Julai 2016 akan meningkatkan nilai hartanah di kawasan itu seterusnya melonjakkan sektor ekonomi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Selangor memberikan keutamaan kepada projek ini dan memantau perkembangannya sehingga siap sepenuhnya.

Pelancaran projek jambatan ke-3 Klang MB (53)a“Kita akan sentiasa memantau perkembangan projek ini di setiap peringkat untuk memastikan semua ciri yang ditetapkan dapat dicapai,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jambatan Ketiga Sungai Klang di tapak cadangan pembinaan berhampiran Jalan Sungai Bertih, di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah itu menandakan pembinaan jambatan ketiga bakal dimulakan, sekali gus memenuhi tanggungjawab menyiapkan projek yang gagal dilaksanakan Barisan Nasional selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Ir Hamizan Mohd Inzan berkata, pembinaan jambatan ini dijangka akan mengurang kesesakan trafik di dua jambatan utama Klang,
Jambatan Kota sebanyak 20 peratus dan Jambatan Tengku Kelana 40 peratus.

Melalui proses tender terbuka, syarikat Cergas Murni Sdn Bhd memenangi tender projek berkenaan selepas melepasi syarat penilaian teknikal dengan tawaran harga berjumlah RM199,156,069.36.

Sebelum ini, Cergas Murni sudah melaksanakan proses awal seperti kerja ukur, penyediaan insurans dan bon pelaksanaan.

Proses tender terbuka dibuka kepada umum pada 19 Mac hingga 22 April lalu dan 23 syarikat kontraktor mengambil bahagian.

Reka bentuk jambatan terbabit bercirikan kapal layar dan keris yang dihasilkan syarikat Vast Consultants Sdn Bhd selepas memenangi pertandingan yang dianjurkan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, tahun lalu.

Jambatan ketiga Klang sepanjang 2.5 kilometer akan bermula selepas persimpangan Sungai Udang/Teluk Pulai dan berakhir di persimpangan Jalan Goh Hock Huat.EZY

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: