Sabtu, 9 Ogos 2014

Mana janji Najib bina 9,999 rumah mampu milik di Pulau Pinang?

janji_Najib_bina_9999_rumah_mampu_milik_di_Penang_awani



GEORGE TOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi gagal menunaikan janjinya apabila sehingga hari ini masih belum membina 9,999 unit rumah mampu milik di Pulau Pinang, kata Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan Jagdeep Singh Deo.

Kata Jagdeep, Najib sebelum ini menyatakan bahawa 9,999 unit rumah mampu milik akan dibina di kawasan di Air Putih, Air Itam, Paya Terubong dan kawasan strategik yang lengkap dengan pelbagai kemudahan rekreasi.

“Perdana Menteri Datuk ‘Seri Najib Razak menyatakan bahawa 9,999 unit rumah mampu milik akan dibina. Ini diikuti oleh keryataan pada Ogos 2013 oleh PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) bahawa 20,519 unit rumah mampu milik akan dibina di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak,” kata Jagdeep dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman bahawa komitmen kerajaan pusat untuk membina rumah mampu milik di Pulau Pinang tergendala berikutan tindakan kerajaan negeri menangguhkan projek yang dirancang.

Kata Jagdeep, Zainal perlu menyediakan butiran penyediaan projek rumah kos rendah dan mampu milik kepada Jawatankuasa Perancangan Negeri yang didakwa tidak diluluskan dalam tempoh lapan bulan lepas.

“Jawatankuasa Perancang Negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan semua agensi meneliti dan menilai semua permohonan pembangunan oleh mana-mana pihak, tidak hanya terhad kepada badan persekutuan.

“Perlu diambil perhatian bahawa segala keperluan teknikal mesti dipenuhi sebelum sesuatu projek boleh diluluskan. Untuk pengetahuan, tiada projek-projek mereka yang ditolak,” jelas Jagdeep.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa persoalan yang lebih penting perlu dijawab Zainal sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang adalah status dan lokasi PR1MA seperti yang dijanjikan di Pulau Pinang.

Menurut Jagdeep, pada Disember 2012 Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias menyatakan, pihaknya akan membina rumah mampu milik di Pulau Pinang dan tanah milik kerajaan persekutuan di Bukit Gelugor dikenal pasti bagi tujuan tersebut, selain lebih tujuh lokasi di Pulau Pinang dan Seberang Perai.

“Walaubagaimanapun, sangat mengecewakan apabila sehingga hari ini, tidak ada satu pun unit PR1MA dikemukakan untuk kelulusan di Pulau Pinang,” kata Jagdeep menggesa Zainal menumpukan kepada usaha pembelaan nasib rakyat, berbanding terus melemparkan tuduhan.

“Saya menyeru Datuk Zainal menumpukan usaha untuk membina unit perumahan mampu milik di Pulau Pinang di bawah (skim) PR1MA seperti yang dijanjikan,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: