Selasa, 5 Ogos 2014

Malaysia bersiap hantar Rizalman ke New Zealand

BERNAMA 


PUTRAJAYA: Malaysia sedang membuat persediaan untuk menghantar balik bekas pembantu staf pertahanan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand untuk menghadapi pertuduhan pecah rumah dan serangan dengan niat untuk merogol.

Kenyataan Wisma Putra hari ini menyebut Malaysia dan New Zealand berbincang tentang prosedur perundangan yang diperlukan untuk membolehkan Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail berdepan pertuduhan itu dan ini akan dilakukan sejajar dengan undang-undang antarabangsa serta dalam negeri.

"Malaysia dan New Zealand komited dalam memastikan bahawa persediaan untuk memindahkan Muhammad Rizalman kepada pihak berkuasa New Zealand dikendalikan dengan cara yang bijaksana, sejajar dengan proses perundangan serta menghormati hak asasi beliau," menurut kenyataan itu.

Muhammad Rizalman, 38, ditahan polis New Zealand pada 9 Mei tahun ini dan dihadapkan di mahkamah pada hari berikutnya bagi menghadapi tuduhan melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita berumur 21 dengan niat untuk merogol.

Bagaimanapun, beliau sekeluarga dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei dan Kementerian Pertahanan mengambil tindakan segera untuk menyiasat kes itu.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman memberitahu sidang akhbar di Putrajaya pada 1 Julai bahawa Muhammad Rizalman dan keluarganya pulang ke Malaysia pada 22 Mei, dengan persetujuan pihak New Zealand.

Beliau berkata dalam perbincangan tentang perkara itu antara pegawai Malaysia dan New Zealand pada 12 Mei, pihak New Zealand menawarkan pilihan bagi tertuduh untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Menteri Luar New Zealand Murray McCully dilaporkan berkata kemungkinan wujud kekaburan dalam komunikasi antara kedua-dua negara dalam menangani kes itu. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: