Isnin, 11 Ogos 2014

Majlis agama didakwa tak efisien urus zakat

MALAYSIAKINI


 


Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) mahu satu agensi khas ditubuhkan bagi mengurus harta wakaf di Pulau Pinang secara optimum untuk manfaat umat Islam di negeri ini.

Presidennya Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata cadangan itu dibuat berikutan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dilihat tidak efisien dalam mengurus aset itu terutama melibatkan tanah wakaf.

"Pemenang ada buat permohonan untuk membangunkan sebuah pangsapuri dan dewan orang ramai di tanah wakaf Wan Chik Ariffin di sini sejak dua tahun lepas tetapi sampai sekarang MAIPP belum memberi persetujuan sedangkan MAIPP adalah pemegang amanah bukannya pemilik mutlak harta wakaf.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membahaskan usul itu dalam mesyuarat agung tahunan ke-85 Pemenang di George Town hari ini.

Katanya dengan pembinaan pangsapuri itu, ia boleh dibeli atau disewakan dengan harga berpatutan kepada orang Melayu selain dapat menjana ekonomi setempat.

Mohd Yussof berkata Pemenang telah menyediakan pelan lengkap bangunan yang dijangka mengandungi 74 unit rumah lengkap dengan dewan serta masjid dan menegaskan pihaknya tidak mempunyai masalah kewangan untuk merealisasikan perkara itu.

"Kami juga telah mendapatkan persetujuan waris Wan Chik Ariffin untuk menstrukturkan semula kegunaan tanah itu supaya lebih ramai lagi orang Melayu dapat merasai faedah daripada program pembangunan yang dilaksanakan," katanya.

Mohd Yussof turut mencadangkan agensi khas itu diterajui dan dianggotai golongan profesional berasal dari Pulau Pinang yang lebih memahami keperluan dan aspirasi anak negeri ini.

Katanya, Pemenang akan menghantar memorandum berkenaan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, selaku ketua agama di negeri ini, dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan perkenan baginda.

Beliau berkata Pemenang telah mengenal pasti 11.56 hektar tanah wakaf di sekitar kawasan di sebelah Pulau yang berpotensi untuk dibangunkan.

Katanya beliau sedih apabila mendapati kebanyakannya menjadi perkampungan tidak teratur serta terhimpit di tengah kepesatan bandar.- Bernama

Tiada ulasan: