Rabu, 6 Ogos 2014

Lelaki di New Zealand Tempah Nombor Plat Kereta MH17

RAKYATNEWS


alt
 


WELLINGTON  - Seorang lelaki di New Zealand menempah nombor plat kereta MH17 selepas pesawat Penerbangan Malaysia terhempas di Ukraine kerana ingin mengabadikan kejadian itu yang turut membabitkan rakyat di negara berkenaan.

Russell Montaperto berkata beliau membelanjakan NZ$650 (RM1,950) bagi nombor plat itu beberapa hari selepas pesawat Boeing 777 berkenaan ditembak jatuh di timur Ukraine dan menganggap nombor plat yang ditempahnya sebagai “satu kerja seni yang tidak ternilai.”

Dalam kejadian itu rakyat New Zealand yang menetap di Australia, Mary Menke dan Robert Ayley, seorang lagi rakyat New Zealand dari Otaki dan lahir di Britain adalah antara 298 orang yang terbunuh dalam kejadian itu.

“Apabila orang melihatnya, ia menandakan sesuatu kepada mereka...kerana ia adalah sebahagian daripada sejarah yang menjejaskan seluruh dunia,” katanya.

Montaperto berkata sekiranya anggota keluarga MH17 berasa sedih, beliau tidak akan menggunakannya dan bersedia untuk memberinya kepada mereka ataupun menjualnya pada harga kos.

Montaperto juga memiliki dua nombor plat peribadi - tema Piala Amerika SEA NZ1 dan SS70, untuk kereta Chevrolet Camaro, yang juga sering mendapat tawaran daripada pihak lain. Beliau tidak pasti sama ada minat sama akan berlaku ke atas plat MH17, tetapi beliau tidak ada bercadang untuk menjualnya dalam masa terdekat ini.

“Ia mempunyai nilai bersejarah. Kepada saya, nilainya lebih besar daripada wang di dalam bank. Saya tidak perlu wang itu.”

Pemilik beberapa hartanah pelaburan itu berkata beliau tidak perlu menempah mahupun menjual plat berkenaan untuk menyara hidupnya.

“Saya lihat tentera Belanda mengusung keranda daripada pesawat, ia mengingatkan kita kepada Anzacs. Ia membuatkan kita melihat hidup ini daripada perspektif berbeza apabila kita lihat mereka di dalam penerbangan itu.

“Saya juga pernah lihat gambar mangsa, dan mereka masih di tempat duduk mereka. Mereka sudah tiada lagi sekarang,” katanya.

Montaperto bagaimanapun bukanlah orang pertama yang menempah nombor plat peribadi yang dikaitkan dengan kejadian tragik. Dua nombor plat yang tertera nombor MH370 dijual selepas Boeing 777 itu hilang Mac lalu. Sehingga kini pesawat terbabit tidak dapat dikesan, dan terdapat dua rakyat New Zealand di dalam pesawat itu.

Pengarah Mr Plates, Bruno Szajer, yang menjalankan perniagaan menerusi laman web yang menjual beribu-ribu nombor plat di New Zealand dan Australia, berkata jualan plat berkaitan dengan kejadian di dunia adalah perkara biasa.

Jurucakap Agensi Pengangkutan, Andrew Knackstedt berkata plat peribadi tidak akan dikeluarkan sekiranya ia menggalakkan keganasan, diskriminasi, berat sebelah, bahan atau kegiatan haram, yang melanggar hak intelek hartanah atau mengandungi bahasa kesat. - Agensi

Tiada ulasan: