Selasa, 19 Ogos 2014

Ku Nan: Jangan lagakan Mahathir-Najib

MALAYSIAKINI



 
 
 
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak memberi teguran secara terbuka berhubung masalah parti dan kepimpinan.

Tengku Adnan berkata, selaku setiausaha agung parti yang pernah berkhidmat kepada tiga perdana menteri, beliau berharap Dr Mahathir dapat berjumpa secara peribadi untuk memberi teguran.

"Kita hormat apa jua cadangan yang diutarakan oleh Tun (Mahathir). Hanya saya minta pada Tun, kalau boleh jangan terlalu terbuka.

"Kalau ada masalah pada parti dan pimpinan, datang berjumpa dengan presiden. Kalau presiden tiada, naib presiden ada, saya pun ada.

"Yang penting berbincang secara dalaman dan jangan expose. Ini masalah parti," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Mahathir semalam menulis dalam blognya yang menarik balik sokongan kepada Najib selepas melihat prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Ketika ditemui media selepas itu, Mahathir berkata Najib terlalu lembut dan sering berdiam diri dalam isu-isu penting negara.

Beri masa pada PM

Sehubungan itu, Adnan yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan meminta supaya memberi masa kepada Najib untuk membawa perubahan kepada negara.

Beliau juga berkata menjadi keutamaan sekarang upaya tiada pihak melaga-lagakan antara Mahathir, Najib dan Umno.

"Apa yang Najib lakukan ialah membawa pembaharuan. Kita sedar ada perkara yang kita lepas pandang pada waktu dulu dan kita nak betulkan keadaan. Mungkin dalam pada kita nak perbetulkan keadaan, ada orang terasa.

"Saya rasa mungkin perlukan masa. Kita hormat apa Tun katakan pada kita dan akan lihat padanya. Yang penting anda semua jangan laga-laga kan antara Tun dengan Najib atau Tun dengan Umno.

“Saya percaya apa yang Tun buat ialah kerana dia sayang kepada negara ini. Janganlah laga-lagakan," katanya lagi.
 

Tiada ulasan: