Isu air


PULAU INDAH - Krisis kepimpinan kerajaan Selangor tidak menjejaskan perjanjian air antara kerajaan negeri itu dengan kerajaan Pusat, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata, perjanjian yang dimeterai itu merupakan satu penjanjian yang menyeluruh dan mengambil kira kepentingan rakyat, kerajaan negeri dan syarikat konsesi.

"Segala rundingan dan perbincangan juga dijalankan secara terbuka dan keutamaan perjanjian ini adalah untuk menjamin bekalan air yang berterusan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan projek Penggantian Paip Air Dasar Laut Ke Pulau Ketam di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KeTTHA Datuk Lee Took Gee dan Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air Ir. Noor Azahari Zainal Abidin.

Mengulas mengenai risiko pembatalan perjanjian tersebut, Ongkili berkata perjanjian tersebut, mustahil untuk dibatalkan kerana ia merupakan perjanjian antara kerajaan negeri dan pusat.

"Selain itu, adalah amat sukar untuk tidak meneruskan perjanjian tersebut kerana ia memberi manfaat yang besar kepada rakyat," katanya.   

Pada 1 Ogos lepas, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor menandatangani Perjanjian Dasar Induk berhubung penstrukturan semula industri bekalan air dan penyelesaian jangka panjang isu air di Selangor.

Perjanjian itu ditandatangani antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika kemelut perebutan jawatan menteri besar negeri itu sedang berlaku sementara kerajaan Persekutuan diwakili Ongkili.

Mengenai projek Penggantian Paip Air Dasar Laut Ke Pulau Ketam yang bernilai RM38 juta itu, Ongkili berkata ia melibatkan pemasangan paip baharu sepanjang 5.6 kilometer dan sebahagian paipnya merentasi Selat Klang.

Projek yang dijangka siap hujung tahun itu, diharap dapat mengatasi masalah gangguan bekalan air yang kerap terjadi di Pulau Ketam yang dianggarkan mempunyai kira-kira 1,200 akaun pengguna.

Pulau Ketam sebelum ini kerap mengalami gangguan bekalan air akibat kebocoran paip dasar laut yang berpunca daripada aktiviti perkapalan selain kerja-kerja mendalamkan dasar Selat Klang yang dijalankan oleh pihak pelabuhan. - Bernama