Rabu, 6 Ogos 2014

Krisis PKR Di Selangor Tiada Penghujung

RAKYATNEWS


alt

 

KUALA LUMPUR - Krisis dalaman PKR dalam isu jawatan Menteri Besar Selangor yang disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebenarnya semakin parah, serius dan tidak akan ada jalan penyelesaian.

Beberapa pemerhati politik berpendapat kemelut itu akan terus berpanjangan walaupun menteri besar negeri itu ditukar dengan calon kegemaran parti itu.

Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, ini kerana kemelut yang melanda adalah berpunca kerakusan pemimpin parti itu melunaskan kepentingan politik peribadi.

"Sebelum ini krisis sudah berlaku di mana Anggota Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali selaku timbalan presiden parti kuat melobi untuk menjadi menteri besar, konflik yang tercetus bukan sahaja melibatkan Abdul Khalid dan Mohamed Azmin tetapi melibatkan dua kem yang menyokong kedua-dua mereka.

"Mohamed Azmin dilihat lebih berpihak kepada ketua pembangkang dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala Abdul Khalid ketika itu rapat dengan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dicanang bakal menggantikan Abdul Khalid.

"Dr Wan Azizah dilihat berusaha untuk berkompromi dengan Abdul Khalid, tetapi apakah kem Mohamed Azmin akan berdiam diri apabila nama Dr Wan Azizah dicadangkan sebagai menteri besar yang baharu? Saya rasa tidak kerana Mohamed Azmin ada misi dan akan guna pelbagai strategi untuk menjadi menteri besar," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Tiada ulasan: