MH17
 
 
 
PUTRAJAYA - Komuniti Islam tempatan di Belanda bersedia memberikan bantuan kepada wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pengurusan pengendalian jenazah rakyat Malaysia yang terlibat dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, persediaan untuk menguruskan jenazah oleh enam imam daripada Jakim juga berjalan lancar dengan bantuan serta hubungan baik dengan komuniti tempatan itu.

“Persiapan pengurusan jenazah di sana (Belanda) dan di sini berjalan lancar. Setibanya di sini (Malaysia) pengurusan jenazah akan dilakukan oleh saya dan Jakim bagi jenazah Islam manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Joseph Kurup bagi jenazah bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani MoU Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), semalam.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun sehingga kini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.- Bernama