Jumaat, 8 Ogos 2014

Khalid: Tuduhan tak munasabah, tak adil

MALAYSIAKINI


 


Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menuntut agar PKR bertindak adil dalam membuat tuduhan ke atasnya, selari dengan slogan “Keadilan untuk semua” yang dicanang parti itu.

Beliau juga meminta agar Lembaga Disiplin PKR mengikut prosedur yang betul dan mengambil teladan dari kes berhubung tuduhan Liwat II melibatkan ketua umum parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya berasa amat risau berkenaan bagaimana tergesa-gesanya perkara tindakan disiplin ini sedang dilaksanakan.

“Seperti bagaimana Anwar berasa risau tentang rayuannya dalam Mahkamah Rayuan yang dilaksanan tergesa-gesa.

“Kita tidak boleh memberi satu persepsi awam yang sama dalam perkara ini di hadapan kita ini,” katanya lagi dalam suratnya kepada Lembaga Disiplin.

Ia merupakan surat kedua Khalid, selepas lembaga tersebut mengeluarkan notis tunjuk sebab ke atas beliau pada hari Selasa.

Khalid berkata, beliau kecewa kerana lembaga tersebut tidak menerima jawapannya pada hari Rabu, yang menyifatkan notis tunjuk sebab itu sebagai “cacat”.

Katanya lagi, lembaga itu juga mengemukakan permintaan tidak munasabah kerana mahu beliau menjelaskan lima tuduhan ke atasnya dalam masa singkat.

Tiada salah laku disiplin

Tuduhan itu juga tidak adil kerana diberi tempoh yang amat singkat – kurang 24 jam – untuk menjawab tuduhan yang tidak dinyatakan dengan jelas dan terperinci, kata Khalid.

Perkara itu merupakan antara alasan utama dalam jawapan kepada notis tunjuk sebab ke atasnya, yang diutuskan kepada lembaga tersebut hari ini.

“Jika notis tunjuk sebab tersebut tidak menyatakan, antara lainnya tuduhan dan perlanggaran mana-mana peruntukan dalam perlembagaan parti oleh saya, ini bermakna secara prima facie, tiada apa-apa salah laku disiplin yang telah dilakukan oleh saya dan tiada apa-apa salah laku disiplin yang boleh didengar oleh Lembaga Disiplin.

“Tanpa sebab-sebab tersebut, saya tidak dapat membela diri saya dengan efektif,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, perkara itu juga dibincangkan dalam mesyuarat Exco, sedangkan Lembaga Disiplin hanya berkuasa untuk mendengar kes berkaitan disiplin parti.

"Oleh sebab itu, tidak munasabah bagi Datuk (Tan Kee Kwong) dan Lembaga Disiplin mengkehendakkan saya dalam tempoh yang sangat singkat menjelaskan lima perkara tersebut," katanya.

Beliau merujuk kepada permintaan lembaga tersebut agar beliau menjelaskan mengenai lima perkara – penstrukturan industri air, elaun baru menteri besar, kenaikan cukai bagi lesen perniagaan, pinjaman bank Islam dan cadangan projek lebuh raya Kidex.

Tiada ulasan: