Khamis, 7 Ogos 2014

Khalid tidak goyah dengan tekanan PKR

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic

 
 
KLANG: Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau seronok dalam mentadbir Selangor meskipun PKR menambahkan tekanan terhadap beliau untuk berundur sebagai Menteri Besar.
 
Khalid mendakwa beliau tidak tergugat dengan tekanan itu malah ia mendorongnya untuk bekerja lebih kuat.
 
"Saya seronok. Ia mendorong saya untuk bekerja lebih gigih," kata Khalid dalam sidang media selepas melancarkan Projek Membina Jambatan Ke-3 Klang dan majlis jamuan hari raya di sini, sebentar tadi. 
 
Beliau berkata demikan sebagai mengulas tindakan PKR mengedarkan laporan 90 muka surat yang menuduh beliau sebagai tidak beramanah dalam mentadbir Selangor.
 
Semalam Khalid diberi surat tunjuk sebab oleh PKR kerana dikatakan melanggar arahan parti supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan memberi laluan kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
Khalid berkata beliau sudah jawab surat itu.
 
ADUN Pelabuhan Klang itu menegaskan persoalan sama ada beliau akan berundur bergantung kepada keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (MPPR) yang dijangka bermesyuarat selepas 10 Ogos.
 
"Sama ada saya jadi MB atau tidak, itu akan ditentukan oleh proses yang dilakukan seperti dalam enakmen negeri Selangor. Jadi sebelum apa-apa berlaku atau sebelum apa-apa dilaksanakan, sekarang hanya bercakap saja, tiada pelaksanaan apa-apa jadi untuk itu saya masih bekerja sebagai menteri besar dengan penuh minat dan tanggungjawab.
 
"Atas desakan begini, saya mesti buat kerja dengan cepat dan tertib dan telus," ujarnya.
 
Jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat Ahad ini untuk membuat pendirian mengenai kedudukan Khalid yang dapat sokongan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan Majlis Ulama.
 
"Saya merasakan kenyataan itu kenyataan sendiri. Jadi oleh sebab itu saya akan membuat apa-apa tindakan selepas saya dapati kesahihan penerimaan dan keputusan. Saya difahamkan pada 10 Ogos terdapat mesyuarat kepimpinan pakatan. Saya akan buat kenyataan akhbar selepas itu" Kata khalid.
 
Malah bagi menjawab tuduhan yang dilemparkan terhadapnya berhubung salah laku dalam penyelesaian hutang dengan Bank Islam, kata Khalid, pihaknya telah pergi sendiri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuat laporan agar kes tuduhan tersebut disiasat.
 
"Saya da hantar semua dokumen yang ditulis oleh PKR kepada SPRM dan kemudian saya rasa adalah baik untuk saya tidak memberi komen. Tambahan pula Bank Islam terlibat dalam ini, saya secara peribadi menulis surat kepada Bank Islam," ujarnya lagi. 
 
Semalam, PKR telah mula mengedarkan laporan berkaitan isu penyelesaian hutang Khalid dengan Bank Islam yang dijadikan alasan utama oleh parti berkenaan bagi meyakinkan PAS dan DAP untuk menggugurkan Khalid.  
 
Pendedahan utama berhubung dakwaan salah guna kuasa Abdul Khalid ialah membabitkan pelupusan hutang peribadinya sebanyak RM70 juta dengan Bank Islam yang dibuat di luar mahkamah, di mana Khalid dikatakan gagal menjelaskan perkara tersebut kepada pimpinan PKR. 
 
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli malam tadi juga menyenaraikan kronologi peristiwa dan tindakan Khalid secara terperinci sebagai justifikasi kepada tuntutan terhadap menteri besar dua penggal itu, apatah lagi ia melibatkan akauntabiliti, integriti dan transparensi yang diperlukan oleh seseorang pemimpin.

Tiada ulasan: