Jumaat, 8 Ogos 2014

Khalid sibuk, mahu Lembaga Disiplin tunda mesyuarat

MALAYSIAKINI


 


Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak akan hadir ke mesyuarat Lembaga Disiplin PKR petang ini bagi mengemukakan jawapan ke atas tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.

Beliau sebaliknya memohon agar pertemuan itu ditunda ke tarikh 15 Ogos.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Khalid berkata beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat yang dijadualkan pada petang ini kerana beliau perlu menghadiri satu lagi mesyuarat.

Katanya, mesyuarat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar itu akan membincangkan mengenai Rancangan Malaysia ke-11.

Khalid juga mengesahkan bahawa beliau sudah menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh lembaga tersebut ke atasnya.

Khalid yang ditemui pemberita selepas hadir di satu program bersama Sultan Selangor hari ini turut ditanya sekiranya beliau berbincang mengenai senario politik semasa bersama baginda.

Katanya, perbincangan seperti itu tidak berlaku.

Beliau mengutuskan wakilnya ke Lembaga Disiplin PKR hari ini untuk menyerahkan dokumen dipercayai surat jawapan kepada notis tunjuk sebab ke atasnya.

Pengerusi lembaga tersebut, Datuk Tan Kee Kwong ketika dihubungi mengesahkan menerima surat yang diserahkan secara peribadi oleh setiausaha politik Khalid.

Tan juga memberitahu Malaysiakini bahawa menteri besar itu tidak akan menghadiri mesyuarat dengan lembaga berkenaan, yang dijadualkan jam 3 petang ini.

Khalid semalam diarahkan hadir ke mesyuarat lembaga tersebut  untuk memberi penjelasan berhubung isu kontroversi yang menyebabkan timbul gesaan agar beliau disingkirkan dari jawatan tersebut.

Lembaga itu antara lainnya akan meminta Khalid menjelaskan mengenai kandungan kenyataan akhbar bertarikh 22 Julai.

Selain itu, menteri besar itu juga akan ditanya mengenai penstrukturan semula industri air, elaun baru menteri besar, kenaikan kadar lesen perniagaan, hutang peribadinya dengan Bank Islam dan juga cadangan projek lebuh raya Kidex.

Khalid juga diberi kelonggaran untuk hadir pada tengahari, Sabtu, sekiranya tidak dapat hadir dalam sesi hari ini.

Tiada ulasan: