Isnin, 18 Ogos 2014

Khalid setuju berundur sebagai MB?

Oleh Nur Atiqah Abd Samad, Shuhaniza Said dan Shawaliah Hadir
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini membayangkan beliau akan akan berundur sebagai Menteri Besar setelah PAS secara rasmi menarik balik sokongan untuk beliau terus memegang jawatan itu.
 
Khalid berkata beliau akan memaklumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa PAS akur dengan kehendak PKR, mahukan beliau diganti walaupun Pakatan Rakyat belum membuat keputusan muktamad mengenai soal calon baru untuk jawatan itu. 
 
"Dengan perkembangan terbaru ini, saya akan memohon menghadap DYMM Sultan Selangor untuk memberi nasihat tentang langkah-langkah seterusnya," kata Khalid dalam satu kenyataan. 
 
"Sehingga DYMM Sultan membuat keputusan muktamad, saya akan meneruskan pentadbiran kerajaan Negeri Selangor bersama 4 ahli MMKN (EXCO) daripada PAS  akan meneruskan pentadbiran bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis politik ini," katanya. 
 
"Saya juga berterima kasih atas kesabaran semua pihak dalam penyelesaian isu dan  perkembangan-perkembangan terkini mengikut tatacara yang betul dan berasaskan undang-undang," tambah beliau. 
 
Sultan Sharafuddin Shah akan pulang dari luar negara pada 27 Ogos. 
 
Tengah hari tadi, PAS mendesak Pakatan Rakyat untuk mencadangkan kepada Istana Selangor nama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali selain daripada presiden parti itu Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Khalid. 
 
Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan bermesyuarat petang ini untuk membincangkan pendirian PAS itu yang diputuskan pada mesyuarat tiga jam AJK PAS Pusat. 
 
DAP sebelum ini menyokong pendirian PKR untuk hanya mencalonkan Wan Azizah bagi mengisi jawatan itu namun pendirian itu boleh berubah pada mesyuarat tertinggi gagasan itu petang tadi susulan keputusan PAS menarik balik sokongannya untuk Khalid sebulat suara. 
 
Khalid dipecat oleh PKR minggu lalu setelah beliau enggan meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Wan Azizah. 
 
Beliau bagaimanapun diberi mandat oleh Istana Selangor untuk terus menjadi MB setelah memberi perakuan kepada Sultan Sharafuddin bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dalam DUN Selangor. 
 
Pendirian itu disanggah oleh Wan Azizah yang mengemukakan perakuan bersumpah 30 daripada 56 ADUN Selangor termasuk dua daripada PAS bahawa mereka menyokongnya untuk menggantikan Khalid.

Tiada ulasan: