Jumaat, 8 Ogos 2014

Khalid pulau Lembaga Disiplin PKR, anggap pengerusi badan tidak adil

ANTARAPOS.CO,


Post Pic



SHAH ALAM: Seperti yang dijangka, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan memberi keterangan kepada Lembaga  Disiplin PKR hari ini dan menegaskan beliau hanya akan hadir jika sesi pendengaran itu ditangguh dan badan itu menerima beberapa syarat yang ditetapkan olehnya.

Khalid juga membidas Pengerusi Lembaga Disiplin Datuk Dr Tan Kee Kwong kerana mahukan beliau menjelaskan isu-isu seperti penstrukturan semula industri air dan pembinaan Lebuhraya Kidex. 
Khalid berkata isu-isu itu adalah urusan kerajaan negeri dan tidak kena mengena dengan hal parti.

"Lembaga Disiplin hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar salah laku disiplin berkenaan (hal) parti dan bukan perkara lain apatah lagi dalam hal pentadbiran kerajaan negeri," kata Khalid dalam  suratnya kepada Lembaga Disiplin PKR yang diperolehi oleh Antarapos.

Tindak balas Khalid menyusul selepas 13 ADUN PKR diminta hadir di ibu pejabat parti itu pagi ini untuk menandatangani surat akuan bersumpah menyatakan mereka sudah hilang kepercayaan terhadap beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

ADUN Seri Andalas Xavier Jayakumar mengesahkan arahan parti itu yang dilihat sebagai petanda jelas PKR memperlengkapkan diri untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap Khalid sama ada di DUN Selangor ataupun untuk dihantar ke Istana Selangor.

Perlembagaan negeri memberikan kuasa mutlak kepada Sultan Selangor untuk melantik menteri besar berasaskan sokongan yang diterima dalam DUN.  

Bagaimanapun tindakan parti itu tidak menggusarkan Khalid yang diarah untuk memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin PKR petang ini kerana mengingkari arahan parti supaya meletak jawatan sebagai MB.

Sebaliknya Khalid memulau sesi itu dan  sekali lagi membidas PKR kerana mendakwa tuduhan-tuduhan terhadapnya tidak diperinci secara jelas bagi membolehkan beliau mengemukakan pembelaan.

"Saya hanya diberikan notis amat singkat iaitu kurang 24 jam untuk menghadiri pendengaran tersebut...ia tidak munasabah dan tidak adil," kata beliau dalam suratnya kepada Lembaga Disiplin PKR yang diperolehi oleh Antarapos.

"Saya tidak dapat menghadiri sesi pendengaran tersebut kerana saya terikat dengan tanggungjawab sebagai menteri besar pada masa sesi pendengaran mahu dijalankan," kata beliau dan memohon sesi itu ditangguh kepada Jumaat depan.

Bagaimanapun Khalid menegaskan beliau hanya akan hadir pada tarikh baru itu jika Lembaga Disiplin bersetuju untuk:

1. Menamakan ahli lembaga yang akan mendengar keterangan beliau
2. Prosedur yang akan diguna untuk sidang keterangan itu
3. Menyatakan sama ada beliau boleh membawa peguam atau pegawai-pegawainya hadir sama di pendengaran itu

Khalid berkata beliau khuatir dengan tindakan tergesa-gesa yang diambil oleh Lembaga Disiplin terhadapnya dan membandingkannya dengan perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya amat risau..seperti mana Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim berasa risau tentang rayuannya dalam Mahkamah Rayuan telah dilaksanakan tergesa-gesa. Kita tidak boleh memberi suatu persepsi awam yang sama dalam perkara di hadapan kita ini," kata beliau. 

Tiada ulasan: