MALAYSIAKINI
PKR hari ini mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Menteri
Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kerana enggan meletakkan jawatan.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata keputusan
itu telah diambil atas arahan Biro Politik parti itu yang bermesyuarat
Ahad lalu.
"Mesyuarat
khas MPP (majlis pimpinan pusat) pada 21 Julai 2014 seterusnya telah
membuat keputusan sebulat suara bahawa presiden PKR merangkap ADUN
Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi menteri besar
Selangor yang baru.
"Namun kenyataan media Tan Sri Khalid Ibrahim pada 22hb Julai 2014
secara terang-terangan telah mengingkari keputusan mesyuarat khas MPP
tersebut dengan menyatakan keengganan beliau meletak jawatan menteri
besar Selangor.
"Beliau (Khalid) perlu menjawab surat tunjuk sebab tersebut sebelum atau pada 8 Ogos 2014," kata Tan dalam kenyataan hari ini.
Menurut salinan surat itu, Khalid telah pun menerima perancangan parti
yang diputuskan mesyuarat MPP pada 15 Januari untuk menggantikan melalui
Langkah Kajang.
"Atas sebab-sebab tertentu yang menghalang beliau (Anwar) dari
bertanding sebagai calon PRK (pilihan raya kecil) di Kajang, parti
kemudiannya memilih presiden sebagai calon.
"Bagaimanapun matlamat 'Langkah Kajang' masih berterusan," surat itu dipetik.
Dalam mesyuarat Ahad lalu, biro politik PKR juga memutuskan supaya sesi
penerangan bagi menjelaskan isu itu secara terbuka diadakan dan satu
pertemuan antara Wan Azizah dan Khalid dibuat untuk menyelesaikan
kemelut pentadbiran Selangor.
Bagaimanapun sumber dari pasukan Khalid menyatakan pertemuan mungkin tidak berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan