Selasa, 12 Ogos 2014

Khalid hanya MB sementara

Sebarang keputusan MMKN perlulah diundi supaya fungsi YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dihadkan kepada kapasiti peralihan.
Teng_Chang_Khim_300


PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian & Penyelidikan, Dato Teng Chang Khim mewakili ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN atau EXCO) dari PKR dan DAP berkata mereka menghormati perkenan Sultan Selangor bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

“PKR dan DAP akan menggunakan kaedah yang menepati Undang-undang Tubuh Negeri dan enakmen yang berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat seperti yang dipilih oleh rakyat.

“Sebagai menghormati kehendak rakyat dan titah DYMM Tuanku Sultan Selangor tersebut, kami akan terus menjalankan tugas harian sehinggalah seorang Menteri Besar baharu dari Pakatan Rakyat dilantik untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim,” katanya.

Dalam tempoh peralihan ini, urusan yang melibatkan MMKN atau EXCO adalah mengikut mandat yang telah ditetapkan oleh parti seperti berikut iaitu kedudukan dan fungsi Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang Menteri Besar dari Pakatan Rakyat dilantik.

“Khalid Ibrahim dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian. Sebarang keputusan MMKN perlulah diundi supaya fungsi Tan Sri Khalid Ibrahim dihadkan kepada kapasiti peralihan,” tambah beliau.

Menurut Chang Kim lagi, ahli EXCO dari PKR dan DAP tidak akan berjumpa dengan Tan Sri Khalid Ibrahim (kecuali di mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) untuk mengelakkan sebarang perbincangan mengenai kedudukan parti masing-masing.

Lima lagi EXCO yang terlibat dalam keputusan ini selain Teng Chang Khim adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu, Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Wong Keat Ping, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi & Inovasi, Dr. Daroyah Binti Alwi dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Ganabatirau A/L Veraman.

Tiada ulasan: