Khamis, 7 Ogos 2014

'Khalid enggan letak jawatan macam Anwar'

MALAYSIAKINI


 


Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berpendapat bahawa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hanya mencontohi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui tindakannya yang sehingga kini masih enggan mengikut telunjuk parti agar meletak jawatan.

Anwar menggunakan strategi sama ketika diminta meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri pada 1998, kata bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu dalam tulisan di blog kadirjasin.blogspot.com.

“Jadi kita janganlah terperanjat kalau Abdul Khalid juga mengamalkan strategi yang serupa, iaitu menunggu disingkir dan bukan meletakkan jawatan. Bapa borek anak rintik,” katanya.

Beliau memberi alasan, Khalid akan dianggap mengakui kesalahan dan tuduhan ke atasnya jika memilih untuk meletak jawatan tanpa memberi apa-apa penentangan.

Tambahan pula setiausaha agung parti, Datuk Saifuddin Nasution telahpun mendedahkan dokumen berhubung tuduhan untuk menjejaskan integriti Khalid.

“Kalau letak jawatan, beliau akan hanyut begitu saja dan akan ada orang yang percaya beliau telah melakukan sesuatu yang buruk seperti yang dibayangkan oleh (setiausaha agung PKR) Saifuddin (Nasution).

“Tetapi kalau beliau mempertahankan kedudukan dan dipecat, beliau akan dianggap hero oleh sesetengah pihak dan dihormati manakala yang lain pula menganggap beliau mangsa konspirasi dan memberi simpati,” katanya.

Kadir turut memberi amaran bahawa Pakatan Rakyat mengundang bahaya jika memilih untuk menjalankan pilihan raya negeri untuk menyelesaikan kemelut tersebut.

Katanya lagi, para pengundi dan anggota Pakatan mungkin sudah kecewa dengan Anwar susulan pilihan raya kecil DUN Kajang, yang membuka jalan bagi projek “Langkah Kajang” untuk menyingkirkan Khalid.

Tiada ulasan: