Sabtu, 9 Ogos 2014

Kerajaan jangan sorok perjanjian konsesi EDL guna OSA

Shu Qi
Roketkini.com


JOHOR BAHRU,: DAP menggesa kerajaan menggugurkan perjanjian konsesi Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA), kata Ahli Dewan Undangan Negeri Senai, Wong Shu Qi.

“Kerajaan harus mendedahkan perjanjian perjanjian konsesi EDL dengan MRCB segera untuk membolehkan penelitian awam dibuat.

“Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak boleh digunakan untuk terus menyembunyikannya,” kata Shu Qi dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Wahid Omar sebelum ini menyatakan bahawa kenaikan tol di Kompleks di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru sebenarnya adalah caj tol untuk EDL.

Namun, dokumen dan maklumat berhubung kenaikan kadar baru tol di CIQ Johor Bahru seolah-olah ingin disorok daripada pengetahuan rakyat dengan menggunakan Akta OSA.

Kementerian Kerja Raya pada 25 Julai lalu mengumumkan, kadar baru tol arah ke Malaysia bagi kenderaan daripada kelas 1 hingga 5 diantara RM4.80 hingga RM19.70, manakala kadar tol arah ke Singapura pula diantara RM3.40 hingga RM13.60.

“Bayaran tol setinggi itu tidak munasabah meskipun kerajaan cuba mewajarkan perlaksanaan pembayaran yang dikutip bagi membolehkan syarikat konsesi Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) melakukan penyelenggaraan Kompleks CIQ,” ujar Shu Qi.

Beliau yang juga Pengarah Dasar DAP Johor turut mendesak kerajaan mendedahkan kegagalan kos pengambilalihan EDL bernilai RM1.7 bilion dalam perjanjian yang dibuat pada tahun 2006 di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

“RM1.7 bilion jumlah yang terlalu tinggi untuk pengambilalihan lebuhraya. Kita tertanya-tanya mengapa kos itu boleh mencecah jumlah sedemikian.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah berjanji di Parlimen sebelum Pilihanraya Umum tahun lalu bahawa EDL akan kekal bebas tol.

“Tapi 15 bulan kemudian, janji dimungkiri tanpa sebarang justifikasi terperinci kecuali harga terlalu tinggi untuk pengambilalihan,” katanya.

Tambah Shu Qi, EDL yang bernilai RM1.3 bilion adalah lebuhraya paling mahal di Malaysia, dengan kos hampir RM160 juta bagi setiap kilometer. – Roketkini.com

Tiada ulasan: