Selasa, 19 Ogos 2014

Kemelut MB S'gor: Ikram alu-alukan keputusan PAS

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengalu-alukan keputusan sebulat suara mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam yang telah membuat penegasan bahawa PAS akan terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam melaksanakan kerjasama politik Tahaluf Siyasi.

"IKRAM percaya keputusan ini membolehkan 'Sistem Dwiparti' terus dilaksanakan," ujar presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad.

Katanya, sistem semak dan imbang ini telah membawa kesan yang baik kepada kematangan politik negara bagi memastikan ketelusan, tadbir-urus yang baik, keadilan dan kesejahteraan rakyat.

Ia juga, ujar beliau mencerminkan hasrat PAS untuk terus berusaha memastikan perjuangan memartabatkan dan mengukuhkan suara Islam melalui Pakatan Rakyat, di samping menjaga kesatuan saf mereka.

Tegasnya, IKRAM  tetap menyokong semua usaha mendaulatkan syariat sesuai dengan tuntutan akidah, dakwah dan ukhuwah.

"IKRAM juga berharap kemelut transisi kepemimpinan negeri Selangor dapat diuruskan dengan lancar, sejajar dengan prinsip demokrasi berparlimen dalam sebuah negara raja berperlembagaan," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: