Rabu, 6 Ogos 2014

Kemelut gugurkan Khalid tak ubah konspirasi jatuhkan Anwar

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Gerakan menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor tidak ubah seperti konspirasi menggulingkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, ujar Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasruddin Hasan.
 
Nasruddin kemudiannya mempertikaikan arahan parti yang mengarahkan ahlinya 'menutup mulut' bersabit usaha PKR menukar Menteri Besar Selangor.
 
Ujarnya Khalid wajar dibela sepertimana Anwar yang dipecat daripada jawatan nombor dua kerajaan Persekutuan pada 1998, ekoran tuduhan liwat.
 
"Apakah Tan Sri Khalid Ibrahim (TKSI) akan diperlakukan oleh DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagaimana Tun Mahathir (Mohamad) melakukannya ke atas beliau?
 
"Apa skandal dan salah laku beliau yang memaksa TSKI dipecat dari PKR lalu digugurkan sebagai Menteri Besar Selangor ?
 
"Apakah perkara ini mahu dilihat hanya perkara dalaman PKR dan rakyat tidak perlu bangkit membela TSKI (Tan Sri Khalid Ibrahim)?" tulis Nasrudin dalam laman Facebooknya.
 
Mengimbau gerakan membela Anwar sewaktu krisis pemecatan dengan penubuhan GERAK yang diketuai Presiden PAS ketika itu Fadhil Nor, Nasrudin berkata sokongan yang sama perlu ditunjukkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
"Rakyat bangkit dan membela DSAI. Mereka tidak anggap ini masalah dalaman Umno sebaliknya mereka anggap ini satu kezaliman dan fitnah.
 
"DSAI mesti diberi pembelaan. Termasuklah yang membela DSAI ialah PAS.
 
"Saya kira andai TSKI disingkir oleh DSAI dari kerusi menteri besar sekarang dengan pelbagai tuduhan, sewajarnya PAS yang dipimpin oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi bangkit membela TSKI yang dizalimi dan diaibkan melalui GERAK 2!" kata Nasrudin.

Tiada ulasan: