Sabtu, 9 Ogos 2014

Kehidupan terganggu akibat bekalan air kotor dan busuk

thp

Roketkini.com


KLUANG: Kehidupan seharian penduduk di Kluang kini terjejas akibat bekalan air yang kotor dan mengeluarkan bau busuk sejak awal bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol Tan Hong Ping berkata, beliau menyedari masalah itu selepas mendapati air di rumahnya sendiri berwarna keruh dan mengeluarkan bau busuk beberapa hari lalu.

Katanya lagi, walaupun Syarikat Air Johor (SAJ) berjaya menyelesaikan masalah di kawasan rumahnya, masalah yang sama masih berlaku di beberapa kawasan lain.

Beliau yang memaklumkan perkara itu di laman Facebooknya menerima aduan yang serupa oleh ramai pengguna Facebook yang tinggal di sana.

“Malah sehingga semalam, saya masih menerima aduan yang sama. Kebanyakan kawasan yang terjejas adalah yang berdekatan bandar,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Menurut komen-komen penduduk di laman Facebooknya, antara kawasan yang mengalami masalah itu adalah Taman Kluang Indah, Taman Bersatu, Taman Emas dan Taman Sri Kluang.

Justeru, katanya lagi, beliau akan berjumpa sendiri dengan SAJ untuk membawa masalah ini agar dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Saya telah mengumpulkan maklumat awal berkenaan masalah ini dan akan berjumpa dengan pegawai SAJ Ahad ini bagi membuat laporan dan mendapatkan maklumat lanjut.

“SAJ paling kurang kena pastikan, sama ada ia selamat digunakan atau tidak, apatah lagi air merupakan keperluan asas kita semua,” katanya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: