Zambry (dua, kanan) mahu kejadian berkenaan segera ditangani. Zambry (dua, kanan) mahu kejadian berkenaan segera ditangani.
 
 
 
IPOH – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan kes kecurian peralatan komunikasi dan kabel semakin berleluasa di negeri ini dan perlu ditangani segera.

Beliau berkata, disebabkan kes ini kadar penetrasi  jalur lebar di Perak semakin menurun, berbanding negeri lain yang sudah mencapai kadar tembusan jalur leber melebihi 60 peratus.

“Pelaku kes berkenaan boleh disifatkan tidak bertanggungjawab kerana tidak memikirkan kesejahteraan masyarakat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahrulzaman Yahya dan Exco Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hasan.

Difahamkan, sepanjang 2013 sebanyak 15,137 kes curi kabel melibatkan prasarana telekomunikasi berjumlah  RM78 juta dilaporkan berlaku di negeri ini.  Situasi ini menjadikan Perak negeri kedua tertinggi mencatat kes kecurian ini selepas Selangor dengan 2,014 kes selain nilai kerugian RM7.23 juta.

Selain itu, data 2014 juga menunjukkan peningkatan kes berbanding 2013 termasuk jumlah kerugian mencecah hampir RM5 juta.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, Manjung dan Taiping dikesan daerah yang mencatatkan kecurian kabel dan vandalisme tertinggi di negeri ini selain Ipoh, Kuala Kangsar, Teluk Intan dan Kerian.

Katanya, kerajaan negeri telah mengarahkan pihak polis dan agensi penguatkuasaan untuk meningkatkan kawalan sekali gus, memberkas mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kita juga memohon pihak jawatankuasa penduduk tidak kira di bandar atau di luar bandar melaporkan segera kepada pihak polis jika melihat ada individu melakukan kegiatan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zambry berkata, kerajaan negeri turut memandang serius isu penagihan dan pengedaran dadah di negeri ini.

Menurutnya, walaupun jumlah  tangkapan dilaporkan berkurangan, namun dari segi kadar penggunaan dadah masih ditahap  membimbangkan.

“Kita sudah memutuskan agar agenda memerangi dadah ini menjadi agenda utama dalam pembinaan masyarakat sebagaimana yang terungkap dalam Perak Aman Jaya. Selain itu, satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Samsudin Abu
Hassan perlu dilaksanakan untuk tindakan pencegahan dan pemulihan,” katanya.

Seperti dilaporkan sebelum ini, beliau berhasrat untuk memperkasakan lagi pihak Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) di semua peringkat dan kawasan, sebagai satu pendekatan untuk memerangi penagihan dan pengedaran dadah di negeri ini.

Katanya, JKKK ini bakal menerima tugas tambahan untuk memastikan kampung mereka bebas daripada dadah.