Tabung Haji Tabung Haji
 
 
 
MADINAH - Tabung Haji dalam usahanya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji telah menyediakan pelbagai persiapan bagi memastikan perjalanan mereka untuk mengerjakan haji berjalan lancar.
  
Timbalan Ketua Rombongan Haji musim ini, Nurrinanuwar Shamsuddin berkata, kumpulan pertama jemaah haji seramai 413 orang yang berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi Rabu waktu Malaysia turut diiringi oleh petugas Tabung Haji bagi memastikan mereka dalam keadaan yang baik.
  
Malah maklumat terakhir mengenai kesihatan atau masalah jemaah haji yang berlepas di KLIA telah disalurkan ke dalam sistem maklumat bersepadu Tabung Haji bagi pihak di Madinah bersiap sedia untuk menyediakan keperluan yang dimaklumkan, katanya kepada pemberita Malaysia di sini Selasa.
  
Beliau sebelum itu menghadiri majlis sembahyang hajat dan doa selamat sempena musim Haji 1435 Hijrah bersama para petugas Tabung Haji yang dihadiri lebih 100 orang di  ibupejabat Tabung Haji di bangunan Dar Siba di sini.
  
Nurrinanuwar berkata pihaknya di sini akan menyediakan kerusi roda dan bantuan paramedik bagi memastikan jemaah haji yang kurang sihat dapat diberi bantuan sewajarnya.

Kumpulan pertama jemaah haji itu dijangka mendarat di Lapangan Terbang Prince Mohammad Bin Abdulaziz di sini pada pukul 9 pagi waktu tempatan, dan dijangka tiba di Maktab Zon Dua Tabung Haji di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick pada 11 pagi, katanya.
  
Beliau berharap jemaah haji akan menjaga kesihatan memandangkan cuaca di Madinah kini telah mencecah 50 darjah celsius dan mengikut segala nasihat yang telah disampaikan oleh Tabung Haji kepada mereka.
  
Beliau berkata, kedudukan tempat penginapan jemaah haji di Madinah yang begitu hampir dengan Masjid Nabawi serta tempat makan dan kedai-kedai diharap dapat memudahkan jemaah haji mengerjakan ibadah dengan sebaik-baiknya.
  
Tabung Haji akan memastikan kesemua 22,320 jemaah haji tahun ini akan dapat mengerjakan haji mereka dengan sebaik mungkin, termasuk berwukuf di Arafah, katanya.
  
Beliau berkata, Tabung Haji setiap tahun akan mengenalpasti  jemaah warga emas yang memerlukan bantuan terutama di Arafah dan akan menyediakan seorang petugas bagi setiap warga emas yang dikenalpasti memerlukannya.  - Bernama