Selasa, 5 Ogos 2014

KEADILAN hantar dokumen penerangan tentang isu MB

Oleh: Lyn Nasir


PETALING JAYA : KEADILAN akan menghantar dokumen penjelasan berhubung sebab dan alasan menggugurkan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada jawatan Menteri Besar Selangor.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas hasil pertemuannya bersama beberapa pimpinan Pas seperti Datuk Nik  Abdul Aziz Nik Mat, Mohamad Sabu, Datuk Husam Musa, dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya lagi, dokumen tersebut akan diserahkan kepada semua pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dalam tempoh terdekat.

“Pada akhir pertemuan, kita ambil inisiatif untuk berjumpa dengan pimpinan Pakatan Rakyat dan hasilnya melihat keperluan untuk Setiausaha Agung beri beberapa fakta bertulis berkenaan perkara ini,

“Saya telah pun siap menyediakan penulisan penerangan dan kita akan sampaikan kepada pimpinan-pimpinan utama PR, bukan sahaja kepada Pas tapi juga akan diberi kepada DAP.

“Selain itu, Pas, DAP dan KEADILAN bersetuju di mana hak menamakan Menteri Besar di Selangor adalah hak KEADILAN, itu  konsensusnya dan turut disebut dalam mesyuarat MPP yang lepas,”
katanya bagi menjelaskan perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik Khas KEADILAN 3 Ogos lalu tentang kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Dalam pada itu, Saifuddin sempat menjelaskan mesyuarat yang dibuat itu turut dihadiri Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali sekaligus menolak laporan Astro wani yang sebelum ini
mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tersepit dan terpaksa melantik Azmin kembali sebagai MB Selangor bagi menjernihkan kembali masalah dalam parti tersebut.

“Malam tadi kita buat mesyuarat biro politik, turut dihadiri oleh YB Azmin Ali, dan keputusannya kita menamakan (Datuk Seri) Wan Azizah, satu-satunya nama yang dicalonkan oleh KEADILAN kepada Majlis Presiden,

“Dalam mesyuarat itu, Presiden, Timbalan Presiden yang hadir malam tadi tegas dan tetap mengekalkan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat MPP sebelum ini.

“Pada saya, laporan Awani itu hanyalah sekadar berita sampingan sahaja,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: