ASPAN ALIAS
Dalam posting saya semalam saya telah menyentuh tentang ura-ura setengah pihak untuk mennyokong calon kompromi bagi menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar. Ada perkhabaran yang calon kompromi itu ialah Dr Idris Ahmad, seorang gynaecology terkenal. Beliau adalah ADUN Ijok Beliau menggantikan Khalid di kawasan itu setelah Khalid mengambil keputusan untuk bertanding di Pelabuhan Kelang dalam pilihanraya yang lalu. PAS dikatakan tidak ada halangan untuk menyokong Dr Idris sebagai pengganti kepada Khalid.
Saya mengenali Dr Idris secara
dekat dan saya secara peribadi menganggap beliau merupakan seorang yang baik
dan tidak mempunyai apa-apa isu peribadi yang negatif terhadap beliau. Tetapi
apakah benar beliau sebagai calon alternatif yang tepat. Pertamanya dalam
kekecuhan sebegini mampukah Pakatan Rakyat mencari calon yang secocok dengan
semua pihak?
Kita mesti ingat PKR Selangor di
ketuai oleh Azmin Ali dan jika pun Khalid mampu di buang, maka Azmin lah dari
segi kedudukan dalam parti itu yang sepatutnya di berikan keutamaan menyandang
jawatan Menteri Besar itu. Tambahan pula beliau adalah Timbalan Presiden PKR
kebangsaan dan jika beliau tidak di pertimbangkan, ia merupakan satu lagi
langkah yang tidak adil.
Setakat ini belum ada kenyataan
rasmi dari pihak Azmin memberikan sokongan terhadap pencalonan Wan Azizah untuk
menggantikan Khalid Ibrahim. Jika Dr Idris di calonkan adakah tindakan itu
mampu menyelesaikan kemelut itu? Jika tersalah langkah Idris akan menjadi
mangsa dalam perebutan jawatan Menteri Besar ini dan beliau dengan tidak
semena-mena akan cedera politik beliau dalam keganasan politik di Selangor ini.
Pertamanya boleh kah Anwar
menerima seorang yang lain selain dari isterinya yang telah di calonkan oleh
PKR itu. Walaupun Azmin adalah penyokong kuat beliau dari awal lagi, tetapi
ingat Wan Azizah adalah isteri beliau yang telah bersama-sama mengharungi
tsunami politik Anwar selama 15 tahun ini. Walaupun segala masalah yang berlaku
terhadap Anwar itu hasil dari perbuatan sendiri tetapi Wan Azizah tetap dengan
suaminya itu, setiap waktu dan keadaan.
Jika pun Anwar bersetuju dengan
Idris, bagaimana dengan Azmin Ali? Ramai mengetahui keluarga Anwar tidak
bersetuju dalam banyak hal dengan Azmin, tetapi perkara yang tidak boleh
dilupakan oleh semua Azmin adalah hulubalang kepada Anwar yang sentiasa bersama
mentornya itu dalam apa keadaan sekali pun. Kenapa Wan Azizah tidak berapa
gemar dengan Anwar tidak pula kita ketahui. Tidak perlu kita sebut kenapa
kerana kita mempunyai masalah yang lain yang perlu di berikan perhatian.
Jika Azmin kali ini bertindak
berlainan dengan PKR dan Anwar, ramai yang tidak akan menyalahkan Azmin, kerana
beliau adalah pengasas PKR bersama Wan Azizah dan telah begitu setia dengan PKR
terutamanya kepada Anwar sendiri. Jika ada peluang, Azmin selama ini mengintai
jawatan yang di sandang oleh Khalid itu. Lantaran jika Khalid diketepikan maka
beliaulah yang sepatutnya dipertimbangkan sebagai pengganti.
Jika Azmin dipertimbangkan oleh
Anwar, keluarganya (Anwar) sendiri tidak menyokong Azmin. Begitu juga PAS
tidak begitu selesa dengan Azmin.
Sebelum pun PAS dapat bersuara Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung PKR
telah menempelak PAS dan memberitahu PAS yang PKR mempunyai moral politik yang
tinggi untuk menentukan siapa Menteri Besar bagi Selangor.
Sesungguhnya keadaan politik di
Selangor sudah sampai ketahap caca-marba. Ibarat parang yang sudah tidak tentu lagi
yang mana hulu dan yang mana matanya. Politik di Selangor ibarat sungai mudik
ke hulu, dan matahari terbit dari barat. Siangnya tidak terang dan malamnya
tidak gelap lagi. Selangor kini ibarat sebuah bukit yang terlalu banyak singa
dan harimaunya. Tidak dapat lagi menetukan yang mana pinggan dan yang mana
piring.
Keadaan sekarang ‘tidak lemak lagi
dek santan’ dan ‘tidak kuning dek kunyit lagi’. Ramai pemimpin akan kecundang,
Datang mereka tidak nampak mukanya dan perginya tidak nampak belakang mereka.
Keadaan seperti ini tidak akan berlaku
jika PKR tidak melakukan kerja yang merumitkan mereka ini. Usaha mengenepikan
Khalid jelas merupakan ‘misadventure’ politik yang susah untuk mendapat
penyelesaiannya.
Kenyataan Anwar semasa
mengumumkan isterinya menjadi calon pengganti Khalid, beliau telah memberikan
jaminan yang isterinya itu mampu menstabilkan keadaan di Selangor. Sekarang
elok kita mengingatkan Anwar yang belum pun menjadi Menteri Besar keadaan sudah
berkecamuk seperti ini. Mana dia kestabilan yang akan di bawa oleh Azizah.
Bagi saya hanya dua cara sahaja
untuk menyelesaikan masalah ini. Pertamanya dibatalkan sahaja niat untuk
memberhentikan Khalid dan cara yang kedua ialah dengan membubarkan Dewan
Undangan Negeri dan adakan pilihanraya negeri sekali lagi.
Jika diambil pilihan kedua ini ia
boleh memberikan pengajaran kepada mana-mana parti terutamnya PKR dan Anwar
secara peribadinya, yang tidak semua orang yang sentiasa bernasib baik dalam
semua tindakan dan perbuatan. Cuaca tidak semestinya baik sentiasa. Ingatkan
panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Jika PKR dan PR tidak dapat
membaharui kemenangan yang mutlak seperti pilihanraya dahulu, maka tindakan
terburu-buru PKR untuk membuang Menteri Besar pilihannya sendiri itu merupakan
satu ‘misadventure’ politik yang tidak ada tolok banding hasil negatifnya.
Tetapi yang lebih dalam lagi
implikasinya dengan keadaan seperti ini, impian Anwar untuk ke Putrajaya
hanya
Allah sahaja yang boleh membantu beliau kesana. Kalau di nilai dari
hukum
akalnya, Anwar sudah sepatutnya terfikir untuk hidup dalam persaraan.
Ini pun boleh dijadikan alternatif untuk menyelesaikan masalah.
Sudah jelas dan terang Anwar
tidak mempunyai daya untuk menyatukan PKR sendiri, bagaimana beliau hendak
menyatukan semua parti dalam PR itu. Anwar sedang menghadapi masalah ‘intra’
dan ‘interparty’ yang sangat serius.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan