Jumaat, 1 Ogos 2014

Jangan biarkan BN miliki senyuman terakhir, kata Pemuda Pakatan Perak

THE MALAYSIAN INSIDER


Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Perak menegaskan solidariti dan persamaan perjuangan adalah lebih penting daripada sebarang isu berbangkit serta menyeru semua ahli terus menyokong pemimpin tertinggi PR. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Ogos, 2014.
Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Perak menegaskan solidariti dan persamaan perjuangan adalah lebih penting daripada sebarang isu berbangkit serta menyeru semua ahli terus menyokong pemimpin tertinggi PR. – Gambar fail The Malaysian Insider



Pemuda Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak menyeru semua ahli dan pimpinan parti kekal bersatu meneruskan amanah yang diberi rakyat untuk memerintah selepas dipilih pada dua pilihan raya umum lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Raja Iskandar Al-Hiss, Ketua DAPSY Wong Kah Woh dan Ketua Angkatan Muda PKR Perak Zafril Mohd Eusoff berkata inilah masanya bagi semua pimpinan parti menunjukkan kepimpinan parti mampu menangani krisis politik.

 “Pemuda PR Perak menyeru semua ahli Pakatan bersatu dan bertegas supaya jangan kita membenarkan Barisan Nasional (BN) dan Umno memiliki senyuman terakhir.

“Sudah sampai masa PR membuktikan kita mampu dan mempunyai hasrat politik untuk menangani krisis dan cabaran di hadapan kita,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini menggariskan 10 sebab mengapa PAS perlu meninggalkan PR selepas wujud cadangan daripada pemimpin parti Islam itu untuk bekerjasama dengan BN.

Timbalan Presiden Isma Aminuddin Yahya berkata apa yang dilontarkan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki adalah wakil kepada suara hati ramai pemimpin dan ahli parti itu yang selama ini gelisah dengan tindak-tanduk parti komponen PR lain, tetapi tidak berani bersuara.

Pemuda PR Perak berkata sejak enam bulan lalu, parti secara keseluruhannya menghadapi cabaran demi cabaran yang menyinggung keyakinan bukan sahaja di kalangan pengundi malah juga di kalangan ahli parti masing-masing.

 Katanya, dengan percanggahan yang timbul, wujud persoalan sama ada PR akan kekal bersama dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita tidak dapat nafikan pelbagai unsur bukan sahaja menguji solidariti kita, malah mengamplifikasikan perbezaan kita. Krisis perlembagaan Perak pada 2008 sememangnya membawa PR ke satu tahap kerjasama lebih tinggi dan mantap.

“Pemuda PR yang ditubuhkan selepas krisis tersebut merupakan Pemuda pertama yang ditubuhkan bekerjasama dengan sebegitu erat dalam 6 tahun yang lepas.

“Kita tidak akan membenarkan semangat silaturahim yang dijalin selama ini dihancurkan oleh hasrat asabiyah tajaan lawan politik kita,” katanya.

Pemuda PR Perak berkata solidariti dan persamaan perjuangan adalah lebih penting daripada sebarang isu berbangkit.

 Katanya, PR akan terus berpegang kepada prinsip amar makruf nahi munkar, menjunjung sistem demokrasi berparlimen dan tidak akan berhenti dalam usaha untuk menegakkan keadilan dan membebaskan negara daripada cengkaman rasuah dan munafik.

“Kita percaya bahawa kita mampu untuk mencapai titik persamaan dalam perbezaan yang terbangkit.

“Perjuangan untuk landasan politik baru demi kepentingan negara dan rakyat serta keperluan untuk PR kekal bersama adalah jawapan kepada perangkap yang diaturkan oleh lawan politik kita,” katanya.

Tiada ulasan: