MALAYSIAKINI
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan
tuduhan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution bahawa ia akan
bersikap 'selektif' terhadap sebarang siasatan ke atas Menteri Besar
Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai tidak benar dan berniat
jahat.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull berkata
badan itu sama sekali tidak pernah mengamalkan siasatan yang memihak
kepada mana-mana pihak.
"Sebagai sebuah badan yang bebas, telus dan profesional, SPRM menganggap
dakwaan Saifuddin bahawa SPRM melakukan siasatan selektif dan bahawa
'pasti SPRM' akan mengumumkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim tidak ada kes kelak, adalah tidak bertanggungjawab dan
berniat jahat terhadap SPRM.
"SPRM ingin mengingatkan supaya pihak berkenaan jangan cuba mengaitkan
SPRM dalam isu pergolakan politik PKR tanpa asas yang kukuh," katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Shukri mengulas kenyataan Saifuddin seperti dilaporkan portal berita berbahasa Inggeris The Malay Mail Online,
yang mendakwa Abdul Khalid berani membuat laporan kepada SPRM berhubung
dakwaan penyelewengan dalam pentadbiran Selangor kerana badan itu tidak
akan mengambil sebarang tindakan susulan.
Dalam artikel itu, Saifuddin turut mendakwa Abdul Khalid berani membuat
laporan berkenaan kerana beliau sudah menjadi anggota politik
'mesra-Barisan Nasional.'
"For sure SPRM will clear him. You know the words ‘selective investigation?' They will apply that to Khalid," kata Saifuddin seperti dipetik dalam laporan berita itu.
Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata tugas dan tanggungjawab SPRM
hanyalah menyiasat setiap kes yang ada unsur rasuah mengikut peruntukan
Akta SPRM 2009.
"Akta SPRM 2009 dengan jelas memperuntukkan tugas SPRM hanyalah
menjalankan siasatan manakala sama ada terdapat merit untuk mendakwa
atau sebaliknya, ia merupakan tugas Pendakwa Raya berdasarkan keterangan
dan bukti yang diperoleh.
"Kenyataan Saifuddin bahawa SPRM mengamalkan siasatan selektif adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali," katanya.
Beliau turut menegaskan mana-mana aduan atau maklumat yang mempunyai
asas akan disiasat tanpa mengira latar belakang politik, bangsa, agama,
pangkat, jawatan dan sebagainya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan