PUTRAJAYA - Pakatan Anak-anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb)
meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan menangguhkan Kongres Tahunan PKR
2014, atas dasar beberapa aduan terhadap parti itu masih dalam
siasatan.
Ketua Pemuda Pasmeb Norizwan Mohamed mendakwa antara aduan yang
dikemukakan berhubung kait dengan unsur rasuah, dakwaan politik wang dan
penyalahgunaan kuasa dalam pemilihan PKR 2014.
Beliau mendakwa lebih 40 aduan telah dibuat di jabatan itu oleh
pelbagai cawangan PKR di seluruh negara berhubung dakwaan penyelewengan
pemilihan parti berkenaan.
"Saya menuntut JPPM untuk bertindak segera menghentikan Kongres
Nasional PKR 2014 bagi memberi ruang dan tumpuan terhadap usaha
menyelesaikan dakwaan penipuan pemilihan 2014," katanya kepada pemberita
selepas menyerahkan memorandum kepada jabatan itu di sini hari ini.
Kongres itu dijadualkan dari 22 hingga 24 Ogos di Stadium Melawati,
Shah Alam dan dijangka dihadiri anggota perwakilan dan pemerhati PKR
dari seluruh negara.
Seorang aktivis Ally Hazran turut mendakwa mempunyai klip video sebagai
bukti berlakunya penyelewengan dan rasuah dalam pemilihan parti itu. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan