Isu MB: Ulama Pas capai empat perkara
 

BERIKUT adalah kenyataan penuh Majlis Syura Ulama:

Merujuk kepada Fasal 3 Perlembagaan Pas, bahawa dasar Pas ialah Islam, dan Fasal 6(2) bahawa antara usaha Pas adalah "memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara".

Maka, Majlis Syura Ulama Pas yang telah bersidang pada 9 Syawal 1435 bersamaan 6 Ogos 2014 di Kota Bharu telah membuat keputusan berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti seperti berikut:

"Bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah hak bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat (PR) untuk meneruskan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar di Selangor bagi penggal kedua selepas PRU13.

Maka selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan Menteri Besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulama Pas memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Jika sekiranya ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak yang berautoriti seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mahkamah maka Majlis Syura Ulama bersedia untuk menilai kembali kedudukan beliau.

Majlis Syura Ulama menegaskan sekali lagi bahawa Pas akan tetap istiqamah dengan dasar dan prinsip perjuangan Islam sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaannya dan terus  memberi komitmen bersama PR.


Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas

Datuk Dr Haron Din
Timbalan Mursyidul Am Pas