Selasa, 5 Ogos 2014

Isu MB: PKR gagal tonjol politik jujur [TONTON VIDEO]

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Pakatan Anak-Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (PASMEB) hari ini mendakwa PKR ibarat hilang hala tuju perjuangannya dengan asakan supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim digugurkan sebagai Menteri Besar Selangor.
 
Presidennya, Mazli Saring berkata demikian merujuk kepada tindakan PKR hari ini yang akan mengemukakan dalil di sebalik hilangnya kewibawaan Khalid sebagai peneraju kerajaan negeri dan perlu ditukar dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
"PKR sudah tidak dapat mempraktikkan politik jujur terhadap sebahagian pemimpinnya, walaupun pada mulanya telah menyanjung Khalid sebagai contoh MB yang terbaik dan boleh menjaga negeri. 
 
"Apabila tiba masanya mereka tidak memerlukan Khalid, mereka mahu beliau diganti, diinjak-injak dan memberi pelbagai dalil," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution melalui sidang medianya hari ini berkata antara yang akan didedahkan menerusi dokumen tersebut adalah kemelut kes saman RM66.7 juta terhadap Khalild oleh Bank Islam yang akhirnya diselesaikan di luar mahkamah. 
 
Nota penerangan yang berkait rapat dengan intergriti Khalid sebagai pemimpin negeri itu dikatakan lebih 50 muka surat. 
 
Saifuddin berkata nota penjelasan itu akan mula diedarkan esok, lima hari sebelum Jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan rasminya mengenai kedudukan Khalid.
 
Sementelah kepimpinan tertinggi PAS terus mempertahankan Khalid untuk kekal sebagai menteri besar dengan alasan bebas daripada pelbagai skandal salah laku, PKR kini dilihat cuba meraih sokongan DAP, dan hal ini turut diakui oleh Mazli.
 
"Sepatutnya dalam isu pertukaran MB ini, PKR boleh selesaikan dalam lingkungan mereka dahulu tanpa perlu mengajak rakan-rakan PAS dan DAP untuk bersama-sama menjatuhkan Khalid.
 
"Menggunakan pengaruh DAP untuk mendesak Khalid letak jawatan sebagai MB. Ia jelas kelihatan apabila cadangan menggugurkan Khalid dibawa kepada Presiden dan Mursyidul Am PAS secara jelas menolak pelantikan atau pertukaran MB Selangor dengan Wan Azizah," jelasnya sambil menambah Forum "Krisis Selangor : Pakatan Rakyat Berpecah?" yang dianjurkan esok merupakan sebahagian daripada strategi PKR meraih sokongan DAP.
 
Khalid sehingga kini enggan berganjak daripada kedudukannya dan beberapa kali berjanji untuk kekal mengetuai kerajaan negeri sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 akan datang.

Tiada ulasan: