Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod


SHAH ALAM – Berdasarkan corak sokongan antara parti dalam PR dan BN sekarang, kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan terjejas walaupun usul undi tidak percaya dibentangkan ketika persidangan tergempar Dun.

Ketua Kluster Governans, Perundangan Dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, jumlah undi yang sama (28, 28) antara ahli dewan menyebabkan undi tidak percaya tidak memberikan kesan kepada Abdul Khalid.

“Sekarang ini keadaan sokongan kepada Abdul Khalid ialah undi Pas 15 , BN (12) dan Abdul Khalid (1) ialah 28 manakala PKR (13) dan DAP (15) juga 28 undi.“Apabila keadaan seri ini berlaku, maka undi tidak percaya tidak akan terkesan kepada Abdul Khalid dan beliau tetap boleh menjalankan tugasnya sebagai MB Selangor,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, PKR dan DAP sukar untuk mencari sokongan majoriti bagi membolehkan Abdul Khalid melepaskan jawatannya memandangkan ahli Pas dalam Dun dilihat menyokong penuh Menteri Besar Selangor itu.

“Apa yang boleh (PKR dan DAP) lakukan ialah menarik sokongan daripada ahli Pas untuk menyokong undi tidak percaya kerana amat mustahil untuk ahli BN meletakkan undi kepada mereka,” katanya.

Keputusan sokongan Pas kepada hasrat PKR menggugurkan Abdul Khalid sebagai menteri besar hanya akan diketahui selepas mesyuarat Pimpinan Pas Pusat pada 17 Ogos ini.

Namun, Nik Ahmad Kamal berkata, sokongan Pas seperti yang diharapkan PKR agak sukar berikutan Majlis Syura Ulama Pas awal-awal lagi mengeluarkan kenyataan menyokong penuh kepimpinan Abdul Khalid.

Katanya lagi, Abdul Khalid masih boleh mengerakkan jentera pemerintahan negeri kerana mempunyai sokongan empat orang Exco Pas dalam pentadbiran negeri.

“Abdul Khalid dalam kenyataannya (semalam) berkata mempunyai sokongan empat orang Exco Pas yang merupakan syarat penting untuk menggerakkan jentera pemerintahan negeri. Jadi tidak timbul soal Abdul Khalid tidak boleh melaksanakan tugas sebagai menteri besar,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz pula berpendapat, Adun mempunyai peranan dalam menentukan kedudukan Abdul Khalid.

Menurutnya, jika keadaan seri berlaku ketika undi tidak percaya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa menentukan kedudukan Abdul Khalid.

“Jika keadaan seri 28-28 maka Sultan akan memainkan peranan membuat keputusan. Namun berdasarkan situasi semasa, jelas Sultan memihak kepada Abdul Khalid,” katanya.

Dalam sidang medianya semalam, Abdul Khalid mengumumkan Sultan Selangor memberi perkenan kepada beliau untuk meneruskan tugas sebagai menteri besar.

Menurut Shamrahayu, walaupun Abdul Khalid berstatus Adun bebas, jawatannya sebagai menteri besar tidak boleh digugurkan sewenang-wenangnya kerana tiada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor  yang memperuntukkan sedemikian.