Rabu, 13 Ogos 2014

Isu MB: PAS Selangor ikut arahan parti - Iskandar

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Pimpinan dan ahli-ahli PAS Selangor akan sentiasa mematuhi apa sahaja arahan dari PAS Pusat berikutan pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar A Samad berkata pihaknya sabar menunggu PAS Pusat yang akan bermesyuarat pada 17 Ogos ini untuk menetapkan pendirian parti berhubung kedudukan Abdul Khalid.

"Saya yakin pimpinan dan ahli-ahli PAS akan sentiasa bertindak menurut keputusan-keputusan peringkat tertinggi parti malah Ahli-Ahli Dewan Negeri telah mengangkat sumpah sebelum hari penamaan calon pilihanraya umum yang lepas supaya sentiasa mematuhi arahan parti," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, buat masa ini exco-exco PAS akan menjalankan tugas mereka seperti biasa selari dengan arahan yang telah dikeluarkan Setiausaha Agung PAS pada 10 Ogos lalu.

Arahan tersebut agar exco kerajaan negeri dari PAS terus berkhidmat di dalam Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Arahan ini adalah selari dengan perkenaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor agar Tan Sri Khalid meneruskan tugas beliau sebagai Menteri Besar," katanya.
Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, sebelum ini berkata pentadbiran Selangor mesti berjalan demi kepentingan rakyat Selangor.
"Kita merasakan bahawa pentadbiran kerajaan perlu diteruskan, tidak adil untuk rakyat jika exco PAS letak jawatan," tegasnya ketika ditemui pada majlis Hari Terbuka PAS Pusat Ahad lalu.

Dalam pada itu beliau berharap kemelut ini akan dapat diatasi secepat mungkin dan Pakatan Rakyat akan terus kukuh di Negeri Selangor.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: