Ahad, 10 Ogos 2014

Isu Khalid: DAP arah Exco teruskan tugas sementara MB baharu dilantik

Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar
Post Pic

 
 
PETALING JAYA: DAP hari ini memberikan sokongan bulat kepada tindakan PKR memecat Tan Sri Khalid Ibrahim daripada parti itu dan mendesak  beliau untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor secepat mungkin. 
 
Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengarahkan tiga wakil EXCO Selangor daripada parti itu untuk terus menjalankan tugas di bawah Khalid sehingga menteri besar baru dilantik demi memastikan "kerajaan negeri terus berfungsi."
 
Semua 15 ADUN DAP menyokong tindakan PKR menggantikan Khalid dengan presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tambah Guan Eng dalam kenyataan ringkas selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti di sini.  
 
"Tan Sri Khalid sudah kehilangan mandat demokrasi dan kuasa sah untuk terus menjadi Menteri Besar. Justeru beliau perlu meletak jawatan," kata Guan Eng 
 
Beliau enggan mengulas kemungkinan satu usul tidak percaya dibawa terhadap Khalid di Dewan Undangan Negeri Selangor jika beliau masih enggan untuk berundur. 
 
"Saya tak mahu sebut hal ini. Kenyataan saya sudah terang mengatakan DAP menyokong pencalonan Wan Azizah untuk digantikan dengan Khalid dan Pakatan Rakyat masih wujud sebagai kerajaan negeri Selangor," kata beliau. 
 
Tiga EXCO Selangor daripada DAP adalah Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan Ganapathi Rao. 
 
Guan Eng berkata mereka akan mengeluarkan kenyataan bersama selepas Khalid mengadakan pertemuan dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah esok. 
 
Sebelum itu, Guan Eng mengadakan mesyuarat dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat DAP. 
 
Anwar memberitahu pemberita bahawa PKR dan DAP mencapai konsensus menyelesaikan kemelut itu kerana tidak mahukan ia menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Tiada ulasan: