Antara sepanduk dibawa peserta perhimpunan Selamatkan Kanak-kanak Gaza, semalam. Antara sepanduk dibawa peserta perhimpunan Selamatkan Kanak-kanak Gaza, semalam.


KUALA LUMPUR - “Ini bukan peperangan tetapi penghapusan bangsa atau pembunuhan kaum,” kata seorang warga Palestin yang juga penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Iman Husain.

Beliau yang berucap dalam perhimpunan Selamatkan Kanak-kanak Gaza di Dataran Merdeka semalam berkata, tentera Israel secara terang-terangan menyasarkan orang awam yang tidak bersalah.

“Semua sekolah, hospital, rumah dan masjid menjadi sasaran roket Israel.

“Semua insiden itu sangat menyedihkan kerana ramai anak kehilangan ibu bapa, adik beradik serta keluarga sekelip mata,” katanya.

Iman berkata, apa yang berlaku di Gaza, bukan sekadar kematian dan pembunuhan tetapi lebih kepada kesakitan berpanjangan yang perlu dihadapi mereka.

Seorang sukarelawan Viva Palestina, Dr Shazeea Banu berkata, perhimpunan dianjurkan semalam adalah perhimpunan terbaik kerana semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dapat bersatu atas dasar kemanusiaan.

Anggota pertubuhan Viva Palestina, Azhar Stevan turut menghargai kedatangan seluruh rakyat Malaysia ke Dataran Merdeka semalam untuk sama-sama membantah tindakan zalim tentera Israel terhadap rakyat Palestin.