MALAYSIAKINI
Seorang ibu tunggal bersama dua anak perempuannya terpaksa tidur dalam
kereta Perodua Kancil kira-kira dua minggu kerana tidak mampu menyewa
rumah.
Keadaan itu terpaksa dilalui Siti Hajar Ismail, 35, bersama anaknya,
Siti Zubaidah Zubaidi, 8 dan Siti Zulaikah, 6, selepas dia diberhentikan
kerja sebagai pembantu kedai makan di Taman Merdeka di Melaka.
Siti Hajar berkata sebelum ini, mereka menumpang di rumah sepupu di
Tanjung Minyak sebelum mengambil keputusan keluar kerana tidak mahu
membebankan keluarga saudaranya setelah dia kehilangan kerja.
"Saya terpaksa membawa anak-anak tidur di dalam kereta kira-kira enam
hari sebelum saya tumpangkan mereka semula di rumah sepupu saya, tapi
saya terus tidur di dalam kereta," katanya kepada pemberita di Pusat
Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka semalam.
Katanya, dia tidur dalam kereta yang diparkir di depan rumah rakannya di Taman Merdeka selain menumpang mandi di situ.
Siti Hajar berkata dia juga tidak mampu memperbaharui cukai jalan kereta
yang tamat tempoh pada 8 Ogos lepas namun terpaksa menggunakan
kenderaan itu untuk mencari pekerjaan dan berjumpa anaknya.
Katanya, situasi itu menyebabkan Siti Zubaidah tidak dapat bersekolah
kerana dia tidak mampu menyiapkan keperluan anak sulungnya yang belajar
di Sekolah Kebangsaan Parit Melana Durian Tunggal, Alor Gajah.
Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka Amir Hamzah Aziz berkata
pihaknya telah menguruskan penginapan sementara untuk Siti Hajar dan
anaknya di Asrama Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka di Lorong Pandan
di Melaka.
"Mereka boleh mula tinggal di asrama itu hari ini sementara pihak
Lembaga Perumahan Melaka menyediakan sebuah rumah di Kampung Padang
dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata Siti Hajar juga akan diberi bantuan memulakan perniagaan
francais menjual kuih pau di bawah program Jana Pendapatan 1Azam Kerja
'Pakej Perniagaan Pau Rizqi' bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Orang ramai yang ingin membantu Siti Hajar boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank CIMB di 0141 2002 0786 524.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan