Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas)
KUALA LUMPUR - Sebanyak 30,831 rumah di sebahagian kawasan wilayah Sabak Bernam dan Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan air akibat kejadian pencemaran minyak diesel di Loji Rawatan Air (LRA) Bernam River Headwork, Sabak Bernam.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata henti tugas sementara loji berkenaan terpaksa dilakukan sejak 10.40 pagi tadi, namun pihak operator loji iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd masih belum dapat memastikan pemulihan dan pengoperasian semula LRA tersebut.
Situasi itu katanya, turut menyebabkan Syabas tidak dapat menjangkakan bila bekalan air terawat dapat disalurkan semula kepada pengguna ke kawasan terjejas.
"Untuk tempoh ini, pihak Syabas akan memberi bantuan bekalan air kecemasan menerusi lori tangki dan tangki air statik sedia ada kepada pengguna mengikut keutamaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Priscilla berkata kawasan terlibat di wilayah Sabak Bernam ialah seluruh kawasan Bagan Terap, Sungai Panjang, Parit 1 hingga Parit 12 (Timur, Gambut dan Barat), Sungai Haji Dorani Hala Sawah dan Laut.
Seluruh kawasan Pekan Sabak, Batu 37 hingga Batu 40, Sekendi, Sepintas, Jalan Sekolah Sepintas, Tanjung Ketum, Kampung Baru, Tanjung Jawa, Jalan Tengah, Pekan Sungai Besar, Panchang Bedena, Tebuk Pulai, Jalan Taman Pusara, Bagan Sungai Besar, Bagan Sungai Burung dan Sungai Pulai.
Turut terlibat ialah kawasan Peket 20 hingga Peket 100 Hala Sawah dan Laut, Parit 14 hingga Parit 8 Hala Sawah dan Laut, Pasir Panjang, Batu 23, Sungai Leman, Sungai Nibong, Bagan Nakhoda Omar, Sungai Tengar, Sungai Apong, Parit Baru, Sungai Air Tawar, Sungai Lang, Tebuk Pekan, Teluk Rhu, Tebuk Jawa dan  Kampung Banting.
Priscilla berkata di wilayah Hulu Selangor pula hanya melibatkan seluruh kawasan Felda Gedangsa.
Pengguna yang memerlukan maklumat tambahan boleh melayari laman web Syabas di www.syabas.com.my, laman Facebook atau Twitter dengan menaip ‘puspel’ atau ‘puspel syabas’. 
"Para pengguna juga boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol, 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPELaduan / pertanyaan dan hantar kepada 39222," katanya. - Bernama