Jumaat, 22 Ogos 2014

Felcra jangan lari matlamat penubuhan

WARTA UTARA


IPOH: Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (Felcra) dinasihatkan agar tidak lari daripada matlamat sebenar penubuhannya itu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, Felcra yang ketika ini dipengerusikan oleh Dato’ Bung Mokhtar seolah-olah menyimpang daripada matlamat asal mereka iaitu meningkatkan sosio ekonomi penduduk luar bandar khususnya bumiputera.

Beliau diminta mengulas kenyataan Bung Mokhtar kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidlfitri Felcra Berhad yang mengumumkan warga Felcra bakal menerima bonus enam bulan sekiranya berjaya mengekalkan keuntungan sehingga RM100 juta pada tahun berkahir 2014.

Razman menyatakan, peranan yang lebih penting yang perlu Felcra utamakan ialah pemulihan tanah yang terbaik untuk memberikan pulangan kepada tuan tanah yang sudah tidak berupaya
mengusahakannya.

“Ketika ini, tuan tanah seolah-olah tertindas, pulangan yang diperoleh oleh tuan tanah adalah tidak setimpal dengan keluasan tanah yang mereka miliki, kelihatan agensi pengurus Felcra lebih untung berbanding dengan tuan tanah.

“PAS Perak tidak menolak bonus, ia adalah satu faktor penggalak produktiviti syarikat tetapi biarlah kenikmatan dikongsi dan dirasai bersama,” katanya kepada Harakah 13 Ogos lalu.

Pengerusi Badan Bertindak Peneroka Felcra (Bapa) itu menjelaskan, tanggungjawab lebih besar yang belum berjaya direalisasikan sebaik mungkin oleh Felcra ialah mewujudkan peluangpeluang pekerjaan kepada belia-belia dan keluarga-keluarga yang tiada memiliki tanah.

Felcra juga kata beliau gagal memperbaiki taraf ekonomi penduduk-penduduk di luar bandar dan seterusnya meneruskan jurang perbezaan pendapatan dikalangan rakyat.

Tegas beliau, Felcra juga masih gagal meninggikan lagi daya pengeluaran, terutamanya dalam sektor pertanian melalul teknik moden, perancangan yang teratur dan baik, kakitangan yang cekap dan keadaan perumahan serta kemudahan- kemudahan kerja yang memuaskan.

Tiada ulasan: