KUANTAN - Seorang anggota Exco Majlis Belia Malaysia maut dilanggar lori kontena di hadapan pondok bas berhampiran Universiti Malaysia Pahang (UMP), kira-kira tiga kilometer dari Plaza Tol Gambang malam tadi.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, DSP Mohd Noor Yusof Ali kejadian berlaku kira-kira pukul 7.50 malam ketika Abu Qassim Nor Azmi, 28, turun dari sebuah bas ekspres.

"Setelah turun mangsa berjalan menuju ke kereta yang ditunggu isterinya, yang diletakkan di belakang bas tersebut, di sebelah kiri jalan menghala ke Kuantan.

"Setelah selesai memasukkan barang dan begnya ke dalam bonet, mangsa berjalan ke pintu bahagian pemandu untuk memandu. Namun semasa membuka pintu
untuk masuk ke dalam kereta, mangsa dilanggar dari belakang oleh lori kontena berkenaan," katanya.

Beliau berkata akibat rempuhan itu, mangsa yang juga Ahli Majlis Perundingan Belia Negara meninggal di tempat kejadian.

Mohd Noor berkata, sehingga kini pemandu lori terbabit belum membuat laporan polis dan dia sedang dikesan.

Beliau berkata pihak polis akan membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di Tol Gambang bagi mengenal pasti lori berkenaan. - Bernama