Selasa, 12 Ogos 2014

Eco World enggan ulas dakwaan PKR

MALAYSIAKINI



 
 
 
Pemaju harta tanah Eco World Development Group Bhd enggan mengulas berhubung dakwaan terlibat dengan penyelesaian hutang Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Bank Islam.

Selepas beberapa percubaan, termasuk panggilan telefon, e-mel dan kunjungan ke pejabat itu sepanjang minggu lalu, Malaysiakini akhirnya berjaya mendapatkan reaksi daripada jabatan perhubungan korporatnya.

“Kami tidak akan mengeluarkan sebarang respons buat masa ini,” kata seorang kakitangan yang enggan namanya disebut.

PKR dalam pembongkaran 91 halaman berkaitan kes Khalid antaranya mempersoalkan penganugerahan projek kepada Eco World sebulan selepas Khalid menyelesaikan pinjaman RM66 juta dengan Bank Islam.

PKR kepada PAS dengan salinan kepada DAP itu mendakwa, ini ekoran seorang eksekutif di Eco World, yang juga peguam pro-Umno, bertindak sebagai “orang tengah” untuk penyelesaian itu.

Malaysiakini masih belum mendapat reaksi “orang tengah” itu.

Selangorkini, media rasmi Selangor, semalam melaporkan Pejabat menteri besar menafikan memberi projek perumahan mampu milik RM 591 juta kepada Eco World bagi "membalas budi".

Eksekutif Komunikasi Menteri Besar Shazni Munir Mohd Ithnin dilaporkan berkata penganugerahan projek di Sungai Sering, Hulu Kelang itu ekoran Eco World memiliki kepakaran tinggi dalam pembinaan.
 

Tiada ulasan: