Isnin, 11 Ogos 2014

DAP, MCA bantah cadangan tutup Facebook

MALAYSIAKINI


 


DAP dan MCA membantah cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk mengkaji cadangan menutup Facebook.

Strategis Media Sosial DAP, Yeo Bee Yin (bawah) memberi amaran, cadangan itu akan menjatuhkan lagi ranking Malaysia dari Indeks Kebebasan Media yang kini sudah pun begitu teruk.

"Malaysia jatuh 23 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia (PFI) dari tangga 122 ke 145 daripada 179 negara, kedudukan paling teruk kita setakat ini, lebih teruk daripada Zimbabwe, Kemboja dan Kyrgyzstan.

"Jika Facebook diharamkan di Malaysia, kita akan menyertai negara seperti Korea Utara, Cuba, Iran dan Cina sebagai 'negara yang mengharamkan Facebook', satu jalan yang tidak akan dibenarkan oleh rakyat Malaysia yang menghargai kebebasan bersuara," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Yeo yang juga ADUN Damansara Utama berkata terdapat lebih jurang 13 juta pengguna Facebook di Malaysia dan mengingatkan Putrajaya betapa jaminan Koridor Raya Multimedia dulu untuk tidak menapis Internet.

Jumaat lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kerajaan bersedia mengkaji kewajaran menutup Facebook, termasuk mendapatkan reaksi orang ramai, ekoran pelbagai penyalahgunaan.

MCA: Dengar kata pengguna

Sementara itu, Pengerusi Biro Guaman Pemuda MCA Eric Choo bimbang dengan cadangan Ahmad Shabery itu dan memberi amaran kebebasan bersuara di negara ini akan terjejas.

"Daripada menghalang akses ke laman itu, pemimpin, terutamanya menteri-menteri kerajaan persekutuan perlu mengambil tahu, mendengar dan bertemu pengguna sosial media," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tiada ulasan: