Khamis, 7 Ogos 2014

DAP desak KM Sarawak henti anugerah tanah pada syarikat kroni

chong chieng jen (16)

Roketkini.com


KUCHING: DAP Sarawak menggesa Ketua Menteri Adenan Satim mengentikan penganugerahan tanah milik negeri seluas 263.6 di Batu Kawa (MJC) Kuching, kepada syarikat dipercayai milik pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Menurut Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, tanah tersebut seharusnya diwartakan bagi pembinaan rumah mampu milik jenis pengsapuri yang dilengkapi kemudahan rekreasi dan sekolah.

Chong Chieng Jen dalam kenyataannya berkata, beliau difahamkan bahawa penganugerahan tanah yang bernilai RM400 juta kepada syarikat milik pemimpin PBB kini dalam proses pindahmilik.

Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa sebelum ini berulangkali mendedahkan salah guna kuasa kerajaan negeri terutamanya berhubung anugerah tanah kepada syarikat milik kroni semenjak Tan Seri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri.

Antara pendedahannya termasuk anugerah tanah Borneo Development Corporation (BDC) seluas 269 ekar kepada Monarda Sdn Bhd, syarikat milik anak Taib dengan harga premium RM80 juta, berbanding di pasaran terbuka dengan nilai RM500 juta.

“Selain itu, 32 ekar tanah negeri di Batu Lintang turut dianugerah kepada Naim Cendera, sebuah lagi syarikat dikaitkan dengan keluarga Taib dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran yang dianggarkan bernilai RM900 juta.

“Kita tak mahu lihat ada tanah di lokasi yang baik terlepas ke tangan kroni. Kita mahu lihat sama ada Adenan adalah orang yang mengotakan janjinya dan polisi pentadbirann selaras apa yang dikatakannya,” kenyataan Chong dipetik dari laman facebook beliau.

Adenan sebelum ini pernah berkata bahawa dia tidak mahu mana-mana ahli keluarganya mendapat anugerah tanah, lesen balak atau kontrak kerajaan sepanjang dia memegang jawatan sebagai Ketua Menteri.

Justeru itu kata Chong, pihaknya akan menghantar pelan cadangan pembangunan kepada Adenan untuk membina rumah mampu miik, lengkap dengan kawasan rekreasi dan dua sekolah rendah.

“Kita telah kenalpasti tanah milik negeri yang masih kosong dan kita telah mengeluarkan pelan konsep. Saya harap Ketua Menteri menerima cadangan ini dan buktikan bahawa dia mengotakan apa yang dikatakannya,” kata Chong.

Antara cadangan dikemukakan adalah pembinaan 104 pangsapuri lima tingkat dengan 30 unit rumah bagi setiap blok, dengan jumlah keseluruhan 3,120 unit rumah untuk penduduk miskin di Batu Kawa.

Pelan cadangan seluas lima ekar itu turut menyediakan kemudahan sukan termasuk kolam renang, padang bola sepak, balapan, dewan badminton dan bola keranjang selain dua buah sekolah rendah.
Kata Chong, pelan pembangunan ini perlu diuruskan syarikat miik kerajaan negeri seperti Borneo Development Corporation (Sarawak) Sdn Bhd dibawah seliaan Kementerian Perumahan.

“Kesemua unit rumah ini mempunyai tiga bilik dan dua bilik air dijual pada harga mampu milik berjumlah RM150,000 melalui skim sewa-beli dengan bayaran bulanan diantara RM250 ke RM400.

“Untuk membantu golongan ini, agensi kerajaan negeri Sarawak dicadangkan menggunapakai kaedah pinjaman tanpa faedah kepada setiap pembeli rumah. – Roketkini.com

Tiada ulasan: